Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Jamin Makanan di Bazar Ramadan KL Bersih Dan Berkualiti

By 7 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh Elyas Hisyam Mat Zin

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Bazar Ramadan di Kawasan Perumahan Awam PKNS, Jalan Kuching semalam menjadi tempat berlangsung Majlis Pelancaran Penguatkuasaan, Pemeriksaan Sanitasi dan Persampelan Bazar Ramadaan 2016.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Haji Mohd Sauffi Muhammad yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Persampelan makanan akan dijalankan mulai 6 hingga 23 Jun 2016, dan sepanjang 14 hari dianggarkan sebanyak 770 sampel akan diambil dari 14 tapak bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur.

Manakala pemeriksaan sanitasi akan berterusan dari 6 Jun 2016 sehingga minggu akhir bulan ramadan.

Sampel yang diambil akan dianalisa mengikut 3 parameter iaitu E.Coli, Coliform dan Staphylococcus Aureus.

Keputusan diperolehi dalam masa 3 hari di mana hasil keputusan mendapati makanan yang tercemar akan dikenakan kompaun oleh pihak DBKL.

“Bazar Ramadan yang bersih secara tidak langsung akan menarik orang ramai untuk datang kerana ia akan menjadi berita dari mulut ke mulut tentang kelebihan sesuatu bazar tersebut,

“Pengunjung pula perlu menggunakan kuasa selaku pembeli untuk memastikan mereka membeli makanan di gerai yang bersih dan berkualiti,” kata beliau.

Pembeli juga diingatkan supaya mengelak dari membeli makanan basi dan menggunakan penyepit makanan semasa memilih makanan.

Pembeli perlu peka dan tidak membeli makanan di gerai yang tidak mengamalkan pengendalian makanan yang tidak mengikut garis panduan yang di tetapkan oleh penganjur.

Jika ada peniaga yang tidak mengikut garis panduan, pihak pengunjung boleh menyalurkan maklumat kepada pihak penganjur ataupun pihak DBKL sendiri.

Objektif penguatkuasaan adalah untuk memastikan semua makanan yang dijual di bazar ramadan adalah selamat dan bersih serta tidak dicemari kuman berbahaya.

Makanan yang dijual juga harus mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Pihak DBKL juga akan memastikan semua pengendali makanan mendapat suntikan taifoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan.

-DK

Tinggalkan komen anda