Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

KUISAS Bakal Dinaik Taraf Jadi Universiti Awam – Mastura

By 9 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Laman Web KUISAS

KUALA KANGSAR, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid pagi tadi mengumumkan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di sini bakal dinaik taraf menjadi sebuah universiti awam.

Itu merupakan salah satu daripada lima agendanya  untuk memperjuangkan harapan orang Kuala Kangsar sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18 Jun ini. Empat agenda beliau yang lain ialah menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong, memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

Datin Mastura Mohd Yazid bergambar bersama agendanya.

Datin Mastura Mohd Yazid bergambar bersama agendanya. / Foto: Mohd Bashyar

“Ketika ini, saya amat menitikberatkan perkara-perkara melibatkan orang Kuala dan pembangunan orang Kuala. Jadi, bagilah peluang pada saya untuk memikirkan dan menjalankan agenda untuk orang Kuala itu. Dan isu-isu tersebut biarlah saya fikirkan setelah selesai PRK ini.”

Mastura berkata demikian ketika sesi sidang media khas di kediamannya di Bukit Chandan sambil ditemani keempat-empat anaknya, Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Amar serta Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Kamil Shafie dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mastura yang memberi fokus kepada isu tempatan dalam gerakan kempennya turut mengulas mengenai gerak kerja calon-calon lawannya yang lebih mengutamakan isu-isu nasional.

“Mungkin cara kempen kami berbeza. Mungkin saya merasakan terlalu banyak kerja yang nak dibuat untuk orang Kuala. Sebab saya dipilih mewakili mereka (penduduk Kuala Kangsar). Semestinya, apa yang melibatkan orang Kuala dan dititikberatkan oleh orang Kuala menjadi keutamaan saya. Isu-isu nasional boleh difikirkan masa saya berada di parlimen nanti. Buat masa ini, saya harus memikirkan apa yang penting untuk orang Kuala,” jelas Mastura.

Tinggalkan komen anda