Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Mat Sabu Banyak Cakap Merapu – Ismail Sabri

By 15 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) –  “Bagi saya, Mat Sabu ini banyak yang dia cakap itu merapu. Mana boleh dia tuduh MARA (Majlis Amanah Rakyat) sebagai pelingkup Melayu.”

Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu baru-baru ini mengatakan bahawa MARA banyak memberi kesan buruk kepada orang Melayu.

Menurutnya, MARA tidak mungkin ‘melingkupkan’ orang Melayu kerana mereka telah melahirkan lebih sejuta pelajar berjaya di samping menyediakan bantuan pendidikan dan kebajikan yang baik kepada masyarakat.

“Biasalah, saya tengok ucapan dia, tidak pernah berdasarkan fakta, main cakap saja apa yang dia mahu cakap. Jadi saya anggap dia merapu. Tidak perlu kita ambil endah apa dia cakap.

“Saya percaya penduduk Kuala Kangsar juga mempunyai pendapat sama. Dia kata MARA melingkupkan orang Melayu, otak DAP (Parti Keadilan Rakyat) lah ni,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Pemimpin bersama peserta Felcra Berhad di Kampung Bendang Kering, Sayong, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin Barisan Nasional (BN) mampu menambah majoriti dalam PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan antara punca utama adalah berlakunya pecahan undi melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, situasi itu akan memberi kelebihan kepada BN namun beliau memberi peringatan supaya tidak bergantung kepada kelemahan lawan sebaliknya menumpukan untuk menambah kekuatan jentera BN.

“Jangan kita harap kelemahan lawan sebaliknya kita juga perlu ada kekuatan sendiri. Jadi, jangan apabila mereka berpecah dua, kita pula berpecah tiga. Kita mesti ‘solid’, kita jangan berpecah. Pedulikan mereka tapi pastikan kita tidak berpecah,” ujar Ismail Sabri.

Sementara itu, sejumlah RM469,887 dividen diterima oleh 469 peserta FELCRA dalam Kuala Kangsar sebagai sebahagian daripada dividen berjumlah RM74 juta yang diperuntukkan.

“Jumlah dividen pada tahun ini meningkat sebanyak RM9 juta berdasarkan faktor harga kelapa sawit dan saya menyasarkan dividen mampu mencecah RM 400 juta untuk tahun ini,” jelasnya.

 

Tinggalkan komen anda