
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SUNGAI BESAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memasang bahan kempen berbentuk papan iklan yang berunsur tohmahan, provokatif, dan berniat mempengaruhi para pengundi di Sungai Besar adalah melanggar etika berkempen menurut Akta Pilihan Raya 1954.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Pegawai Perhubungan Media, ACP Khalil Ariffin, melaporkan bahawa satu laporan papan iklan di Pekan Sekinchan yang bersifat rasis, menghina dan mengandungi tuduhan rasuah itu diterima oleh polis pada 5.00 petang tadi di Simpang 5.
Hashim menerusi siaran medianya yang baru dikeluarkan pada 10.00 malam tadi, pihak Pasukan Penguat kuasa Pilihan Raya (PP KPR) akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan pemasangan bahan kempen mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Tambahnya, menurut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya sekiranya dilihat perkataan – perkataan pada papan iklan dan didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM10 ribu atau kedua-duanya.
“Berkempenlah secara bijaksana dan berhemah dengan menunjukkan semangat bertanding berlandaskan sikap saling menghormati seperti yang ditunjukkan semasa Hari Penamaan Calon Ahad lepas,” ujar Hashim lagi.