Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Polis Terima Laporan Papan Iklan Berbaur Rasis

By 8 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Oleh Dila Khamde

SUNGAI BESAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Satu laporan polis baru diterima berkenaan penyiaran papan iklan di Pekan Sekinchan yang bersifat rasis, menghina, mengandungi tuduhan rasuah dan sebagainya.

Menurut Pegawai Perhubungan Media, ACP Khalil Ariffin, laporan itu diterima pada 5.00 petang tadi di Simpang 5.

“Setakat ini, pihak kami sudah mula kesan aktiviti yang berlaku seperti ceroboh tempat, cabut dan bakar bendera parti-parti yang bertanding serta yang terbaharu papan iklan yang menghina.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan tindakan akan diambil untuk menurunkannya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam petang tadi.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak menurunkan sendiri papan iklan itu sebaliknya membuat laporan dan serahkan kepada polis atau agensi berkuat kuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mengelakkan pergaduhan.

“Saya mengingatkan penyokong-penyokong dalam tempoh berkempen seharusnya tidak melakukan tindakan-tindakan provokasi ke atas pihak lawan seperti mengejek, baling botol atau mendirikan papan iklan yang menghina individu dan lain-lain perkara yang bersifat negatif,” ujar Khalil lagi.

Setakat ini belum ada laporan polis berkaitan pergaduhan berlaku antara penyokong parti.

Beliau turut memaklumkan bantuan polis trafik telah ditambah kepada 200 orang.

“Kita kini ada petugas trafik yang cukup untuk bertugas sepanjang tempoh kempen pilihan raya. Akhir-akhir ini, kesesakan meningkat di kawasan Sungai Besar dan Sekinchan dan kebetulan juga bulan Ramadan,” tambahnya.

SF

Tinggalkan komen anda