
Oleh : Khairunnisa Ismail
KOTA BHARU, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Institusi pendidikan Islam wajar diperkasakan bagi meneruskan legasi dan mengembangkan kefahaman Islam secara holistik.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan memberi komitmen dalam menyalurkan bantuan kepada institusi pengajian Islam bagi memastikan kesinambungan memartabatkan agama Islam selaras dengan Perkara 3, Perlembagaan persekutuan yang meletakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Kerajaan pusat memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk membiayai lebih daripada 300 buah sekolah agama.
“Selain itu, kerajaan membayar gaji lebih 52,200 kepada tenaga pengajar subjek pendidikan Islam dibawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Demi memartabatkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan, kerajaan telah membayar saluran televisyen berbayar iaitu Tv Al-Hijrah sebanyak RM30 juta hanya untuk menyiarkan program berunsurkan islamik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis penyampaian sumbangan RM 10,000 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada pengurusan Madrasah Diniah Bakriah Pasir Tumboh yang asrama muslimatnya musnah dalam kebakaran pada 17 Jun lalu.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Hasnan Ramli.
SH