Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

PRK Sg Besar: Pengunjung Dobi Meningkat 300%

By 8 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI BESAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar kali ini menyebabkan pengunjung kedai dobi tidak kira penduduk tempatan mahu pun pengunjung luar meningkat 300%.

Demikian kata pemilik dobi di pekan Sungai Besar, Hasliza Md. Ilyas, 44, apabila ditemui di kedai dobinya di sini pagi tadi.

“Pelanggan polis yang paling ramai, tentera, dan ada juga orang-orang yang berkempen tiga penjuru dengan warna oren, biru, dan hijau datang menghantar baju untuk mendapatkan perkhidmatan kami.

Menurut Hasliza yang sebelum ini menguruskan pusat kecantikan, perkhidmatan dobi ini amat penting kerana rata-rata petugas sibuk menguruskan hal PRK.

“Oleh sebab ramai yang datang, dobi kami tiada cuti dari Isnin hingga Ahad. Ingat nak tambah pekerja, tetapi tiga pekerja yang ada bersedia untuk bekerja lebih masa untuk mengumpul duit raya.

 

13346806_658575650989263_3234237177227237604_n

 

“Mereka tak bagi saya ambil pekerja lain. Kalau sebelum ini kami buka dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang, sekarang masing-masing sanggup bekerja hingga 1.00 pagi.

Tambahnya, yang paling mencabar adalah untuk memenuhi pelbagai permintaan pengunjung.

“Karenah pengunjung yang baru hantar nak cepat siap, memang rasa nak tolak tapi tak sampai hati tu yang balik sampai pukul 1.00 pagi,” katanya yang mula menjalankan perniagaan dobi sejak November lalu.

Bagi bekas pesara polis, Mis Tomin, 57, yang merupakan pengusaha dobi di Jalan Gemilang 1, kehadiran pengunjung yang ramai menyebabkan ada hari yang kedainya terpaksa untuk tidak lagi mengambil pelanggan seawal 2.00 petang.

“Perusahaan dobi saya ni berbentuk perkhidmatan. Jadi bukan mudah nak kawal kualiti. Pernah pada musim PRK ni sebab nak jaga kualiti, pukul 2.00 petang kami dah letak logo “Tidak Menerima Pelanggan” dan “Harap Maaf Cucian Telah Padat Jumpa Lagi Besok”.

Mis Tomin juga tidak menafikan PRK kali ini menyebabkan perusahaannya menerima tiga kali ganda keuntungan.

“Ikut secara rambang  memang keuntungan tiga kali ganda tapi maksudnya perlu kerja tiga kali ganda, kalau dulu seorang pekerja sekarang perlu tambah, bertambah juga perbelanjaan . Lagi-lagi saya mengharapkan mesin. Kalau mesin tip top, pekerja efisien, memang cun!

Baginya cabaran terbesar apabila terpaksa berdepan dengan pelanggan baharu yang tidak biasa dengan caranya bekerja.

“Ada yang hantar pada 9.00 pagi  dan nak saya siapkan pada 12.00 tengah hari. Kalau pelanggan biasa mereka dah tahu hantar hari ini datang ambil esok. Memikirkan PRK, kami layan la seberapa baik,” katanya yang terpaksa menambah dua lagi pekerja bagi menampung kehendak pelanggan.

Sementara itu, bagi anggota tentera, Dol Pasoh, 36, yang bertugas dari 3 hingga 18 Jun, dia terpaksa menghantar pakaiannya ke kedai dobi kerana mudah.

“Saya dah tiga kali menghantar dobi sepanjang bertugas di sini kerana mudah. Tidak perlu membasuh, tidak perlu menyidai dan jika hantar hari ini esok dah siap,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Malaysiaaktif di sekitar Pekan Sungai Besar harga dobi masih terkawal pada harga RM2.90 hingga RM3 berbanding di Sekinchan yang naik sehingga RM4 sekilo.

 

– SF/AAS

Tinggalkan komen anda