Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Mastura Bukan Pilihan Melulu – Shahrizat

By 8 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Muhairul Azman Supian (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 8 JUN (Malaysiaaktif) – “Jentera Wanita membawa seorang calon yang mempunyai potensi dan bakat yang begitu baik untuk menjadi wakil rakyat bagi pengundi di Kuala Kangsar. Datin Mastura adalah seorang yang berpendidikan, berilmu, dan berpengalaman.”

Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Media KKMM Pilihan Raya Kecil P.067 Kuala Kangsar di sini, tengah hari tadi.

“Sebagai seorang wanita, beliau (Mastura) juga mempunyai pengalaman yang begitu baik sekali sebagai isteri kepada wakil rakyat di sini bertahun-tahun. Jadi, beliau selalu di sisi suami menjalankan tugas kepada akar umbi. Itu adalah di antara sebab-sebab kepimpinan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada beliau, seorang individu yang berkelayakan, berkebolehan,” ujar Shahrizat.

Tambahnya, jika pengundi memberi sokongan kepada Mastura, ini mununjukkan kehebatan dan kematangan apabila mereka berani dan bijak memilih seorang wanita mewakili mereka.

Calon Barisan Nasional, Datin Mastura Yazid ketika ditemui di rumahnya.

Calon Barisan Nasional, Datin Mastura Yazid ketika ditemui di rumahnya.

“Saya rasa, insya-Allah, kalau menang, itu satu keputusan yang bijak dan forward-looking kerana di zaman ini, wanita menjalankan tugas seiring dengan kaum bapa. Dan wanita mempunyai ciri-ciri istimewa sebagai wakil rakyat.

“Jadi, saya amat berharap bahawa pengundi di Kuala Kangsar akan beri peluang kepada Datin Mastura mewakili BN untuk menurunkan segala visi dan misi pembangunan yang telah pun dirancang oleh BN dan juga arwah wakil rakyat, Datuk Wan, di sini, insya-Allah,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan mengenai pergerakan jentera Wanita yang berpegang kepada prinsip “Jalankan Kempen Secara Berhemah” sama ada ketika bulan Ramadan atau tidak.

Tinggalkan komen anda