
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SUNGAI BESAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Suasana aman dan tenang dengan sedikit gerimis menyambut permulaan proses mengundi di pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Besar pagi ini.
Seawal pukul 7.30 pagi, lebih 30 pengundi dewasa pelbagai kaum termasuk mula memenuhi ruang hadapan sekolah.
Pasangan suami isteri Ham Ah Hon, 75, dan Lee Ah See, 71, dari Sungai Buluh, Kuala Selangor kelihatan gembira kerana menjadi orang pertama yang mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Utama di sini.
“Saya dan isteri bangun seawal 7.00 pagi dan berbaris di luar pagar sekolah dan bangga kerana ini merupakan tanggungjawab saya.”
“Selepas ini, saya nak berkejar ke Klang kerana bertugas sebagai guru vokal di Klang bagi lagu-lagu tradisional Cina, Melayu dan Inggeris,” katanya lagi yang sudah lebih 10 kali turun mengundi.
Sementara itu, di pusat mengundi ini juga disediakan perkhidmatan ‘Buggy’ untuk membantu warga emas untuk ke lokasi mengundi.
Menurut pemandu ‘buggy’, Asrul Jasman Jamaluddin, 37, perkhidmatan ini disediakan untuk membantu melancarkan perjalanan. Setiap kali perjalanan, saya boleh membawa seramai lima orang penumpang.
Bagi warga emas, Tan Ah Moy, 70, perkhidmatan ini membantunya yang sakit kaki.
Hari ini seramai 42, 365 pengundi dijangka akan turun mengundi bagi memilih calon dalam Pilihan Raya Kecil P.093 Sungai Besar.
Proses mengundi akan tamat pada 5.00 petang ini.