Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Jika Ke Mukah Cuba Makanan Tradisi Melanau, Umai

By 20 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh  Mohd Baharruddin Mohamad (Kuching)

MUKAH, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Tidak sah kiranya jika kita ke Mukah, Kuching tanpa mencuba umai, sejenis makanan berasaskan laut yang cukup popular di negeri Bumi Kenyalang.

Umai merupakan sejenis makanan berasaskan ikan segar yang tidak asing lagi bagi etnik Melanau di Mukah, Sarawak.

Menurut peniaga Nur Alfahliziana Mohd Baharrudin, 21, umai diperbuat daripada ikan segar seperti ikan bawal hitam, ikan bawal putih, ikan terubuk, ikan empirang atau ikan yu.

IMG_1700

 

“Ikan segar ini yang telah dibuang tulangnya akan dihiris halus-halus supaya mudah untuk dimakan kelak.

“Setelah dihiris, ikan hirisan itu akan digaulkan bersama-sama asam seperti limau nipis, bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili dan garam sebagai penambah rasa.

“Umai yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong terdiri daripada dua jenis umai iaitu “Umai Campur” dan “Umai Jeb”,” ujarnya lagi yang ditemui oleh di Pasar Mukah di sini semalam.

Sementara itu, menurut pembuat tegar umai, Rossli Ali, 61 dan merupakan  anak Jati Melanau, umai merupakan makanan yang cukup unik kerana berasaskan makanan ikan segar tanpa bahan awet atau dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Umai juga merupakan makanan tradisi bagi kaum Melanau sejak turun-temurun.

“Kepandaian atau kemahiran saya untuk membuat umai hadir secara semula jadi tanpa  menghadiri kursus. Saya banyak belajar daripada kaum keluarga terutama nenek yang memang orang jati Melanau yang handal dalam membuat umai.

“Sejak saya menjalankan perniagaan umai, banyak juga bantuan permulaan modal seperti pinjaman Tekun dan Mara, namun saya lebih gemar menggunakan modal daripada poket sendiri.

“Dengan harga sebungkus antara RM10 hingga RM15, ramai juga yang datang membeli umai khasnya pelancong dari Jepun kerana katanya umai ini rasanya seperti sushi.

“Ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Mei lalu pertambahan jualan turut meningkat dua kali ganda kerana rata-rata petugas memborong stok umai saya untuk dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya lagi yang berasal dari Mukah.

 

-SF

Tinggalkan komen anda