Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Tuak Nipah Rezeki Bulan Ramadan

By 15 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh : Siti Meriam Mohamad (Bachok)

BACHOK, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba bulan Ramadhan, tuak nipah sememangnya mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat Kelantan terutamanya di daerah ini untuk dijadikan minuman sewaktu berbuka puasa.

Di Kampung Kuau Keluat, di sini, seorang pengusaha kecil tuak nipah iaitu Sizamzuri Sidek berkata beliau akan ke kawasan paya yang ditumbuhi pokok nipah untuk mendapatkan tuak.

“Kita potong hujung tangkai buah nipah (mayang) sebelum botol plastik diikat pada hujungnya supaya titisan tuak mengalir ke dalamnya,” ujar beliau kepada Malaysiaaktif.

Menurutnya lagi, beliau turut memasukkan kayu cengal batu yang diasah ke dalam air tuak untuk mengekalkan kemanisannya.

Perusahaan tuak nipah oleh Sizamzuri ini telah diwarisi sejak 35 tahun dahulu lagi oleh datuk dan ayah beliau. Tuak nipah ini juga merupakan salah satu daripada produk yang dipasarkan kepada peniaga-peniaga kecil yang datang sendiri ke rumah beliau untuk mendapatkan tuak yang dijual dengan harga RM35.00 untuk 10 liter. Beliau mampu untuk menjual sehingga 100 liter sehari pada hari-hari biasa.

Menurut seorang peniaga kecil yang mendapatkan bekalan air tuak di rumah Sizamzuri untuk dijual iaitu Mahmud Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Mud, beliau telah menjadi pelanggan tetap tuak nipah ini kerana ianya berkualiti, sedap dan manis.

“Harganya berpatutan dan apabila tiba bulan Ramadan, permintaan makin tinggi oleh penggemar tuak nipah dan pelanggan di bazar-bazar Ramadan di sekitar sini, ujarnya lagi.

Selain itu, produk tuak nipah ini juga terkenal kerana sentiasa menjadi tarikan dan hidangan wajib kepada pengunjung atau pelancong yang datang ke Kampung Kuau Keluat dan menjadi salah satu buah tangan yang akan dibawa balik apabila berkunjung ke sini.

 

-SH

Tinggalkan komen anda