Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Keluar Undi Awal Elak Hujan – Ketua Polis Perak

By 18 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya) / Foto: Isa Zubir

KUALA KANGSAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Kehangatan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar hari ini bermula seawal pukul 8.00 pagi lagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi menyeru para pengundi supaya datang lebih awal bagi mengelak hujan yang dijangka berlaku petang nanti.

“Pegawai saya memaklumkan terdapat sedikit kesesakan lalu lintas. Saya harap pengundi-pengundi dapat bersabar dan bertolak ansur antara satu sama lain.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi P.067, keluarlah mengundi lebih awal. Kalau kita tengok dari segi ramalan kaji cuaca, pada petang ini agak mendung dan berkemungkinan akan hujan.

“Jadi saya menyerulah lebih awal keluar,tunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia di negara demokrasi berpelembagaan ini,” kata Rahim kepada pemberita di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, pagi tadi.

Menurutnya, sejak semalam pihaknya telah menempatkan kira-kira 3,000 anggota polis dan pegawai kanan polis di seluruh Kuala Kangsar bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihanraya ini .

Tambah Rahim, ini merupakan PRK terbaik sepanjang lima tahun perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negeri kerana tiada isu-isu yang boleh menarik perhatian keselamatan ditimbulkan oleh parti politik yang bertanding.

“Sejak dari Hari Penamaan Calon sehingga tengah malam tadi, terdapat 161 ceramah, dan sepanjang ceramah dijalankan, tidak ada sebarang gangguan oleh mana-mana pihak dan saya dapati rakyat Malaysia telah matang dalam berpolitik,” ujar Rahim.

Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semalam, Rahim berkata kes berkenaan akan disiasat secepat mungkin.

“Pihak polis telah menerima 29 laporan polis dan tujuh kertas siasatan dibuka. Yang terakhir ialah petang semalam, iaitu sedikit kekecohan antara parti politik dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Polis akan siasat dan selesaikan kertas siasatan ini serta serahkan kepada Pegawai Perundangan Negeri secepat mungkin,” katanya.

Sehingga pukul 10.00 pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan peratusan keluar mengundi di PRK Kuala Kangsar ini ialah sebanyak 24 peratus.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda