Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerak

Zahid: Teruskan Rancangan Allahyarham Khair-il

By 8 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua program yang telah dirancangkan oleh mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad harus diberikan kesinambungan.

“Insya-Allah, MB dan saya sendiri akan menentukan bukan sahaja mempertimbangkan permohonan-permohonan yang baru, tetapi asas kami adalah memperakukan semua perakuan yang telah dibuat terdahulu untuk dilaksanakan.

“Dan saya sendiri telah melakukan mesyuarat penyelarasan kepada semua agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek yang demikian,” jelas Zahid ketika menghadiri Ramah Mesra bersama Pengundi dan Masyarakat Tempatan di Pusat Daerah Mengundi Ulu Kenas, petang semalam.

Sementara itu, Pengerusi Penternak Ikan Air Tawar dan Udang Galah kawasan itu, Ibrahim Ilias, 82, berharap sungai-sungai dan tali air di Ulu Kenas dapat diberi perhatian.

Pakcik 82.1

Ibrahim Ilias inginkan sungai-sungai dan tali-tali air di sekitar Ulu Kenas dijadikan sebagai warisan negara.

“Kampung ini, kalau sungainya bersih, tali airnya bersih, barulah maju… Sungai-sungai diperbaiki, tali air yang kami gunakan untuk udang galah tu saya sudah berbincang dengan ahli-ahli penternak, sungai itu jadikan warisan, tali air pun warisan, maknanya warisan tu, jagalah… Yang ini orang guna hari-hari,” jelas Ibrahim.

Seorang lagi penduduk kampung yang ditemui Malaysiaaktif, Dabaayah Ariffin, 55, berharap agar sebuah tadika akan dibina di Ulu Kenas. Buat masa ini, tadika yang ada hanya menumpang di kawasan lain seperti masjid kerana tiada tapak khas yang disediakan untuk tadika tersebut.

Tambah Dabaayah, walaupun mempunyai kemudahan internet, namun sesetengah kawasan di pedalaman kampung mengalami sedikit kesukaran kerana kemudahan internetnya agak perlahan, terutamanya di siang hari.

Pada majlis yang sama, Zahid turut meluluskan dana RM200,000 untuk membina Dewan Orang Ramai Ulu Kenas yang baharu bagi menggantikan dewan sedia ada yang amat uzur.

-DZ

Tinggalkan komen anda