Skip to main content
Berita TempatanSabah

Aidilfitri Untuk Semua Kaum – Jainab

By 18 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Yahya Abdul Rajak & Gimpas @James Ghani (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Julai (Malaysiaktif) –? Sambutan hari raya Aidilfitri adalah sebagai pengikat kemesraan dan perpaduan harmoni masyarakat majmuk khususnya di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kaum.

Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Haji Ahmad Ayid kemeriahan sambutan ini seharusnya tidak dirosakkan dengan bermacam-macam permasalahan sosial terutama menerusi alam maya.

“Pelajar hari ini lebih terdedah dengan berbagai-bagai penipuan alam maya sama ada dari segi cinta siber, fitnah hinggalah kutukan dan makian yang dilihat boleh meruntuhkan keharmonian bermasyarakat hari ini.

Tambahnya lagi, sambutan meriah daripada pelajar pelbagai latar belakang suku kaum di sekolah terbabit perlu terus dikekalkan dan disuburkan agar pelajar tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan anak bangsa terutama dengan najis dadah.

Jainab turut menyalurkan sumbangan bernilai RM 5,000 kepada pihak sekolah bagi pelaksanaan aktiviti bersama ke arah pembentukan minda pelajar cemerlang semasa merasmikan majlis sambutan hari raya Aidilfitri di Dewan Perdana, Sekolah Maktab Sabah di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Pengetua Cemerlang Maktab Sabah, Hajah Nuina Haji Alias berkata sambutan raya tahun ini lebih berkonsepkan “Kampung Ku” melalui penglibatan kerjasama dan sokongan dua pihak antara ibu bapa dan pelajar yang memberikan hasil cukup baik.

Kepelbagaian hidangan juadah pelbagai kaum juga menggambarkan betapa aidilfitri dapat menyemarakkan rasa kekitaan sesama warga Maktab selain beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti gerai tercantik, kreatif dan sebagainya.

Mohd Danish Fu Mohd Ridzwan, Pelajar Pra-U, 1 Sains, teruja dengan majlis kali ini dan berharap keharmonian sambutan ini akan terus diadakan kerana dapat mengeratkan persaudaraan sesama pelajar di sekolah terbabit.

Adik Danish Fu yang juga merupakan pelajar berketurunan Cina melihat indahnya Aidilfitri ini apabila turut diraikan oleh seluruh kaum tanpa mengira bangsa dan keturunan sama-sama bergembira tanda pemuafakatan bersama.

SF

Tinggalkan komen anda