Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Golf Amal Untuk Dana Pesakit Buah Pinggang

By 22 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Fauziah Hussain, Parameswary Lekshmnan dan Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Malaysiaktif) – “Kerjasama strategik yang baik antara Jabatan Penerangan Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan Kelab Rotary Damansara membolehkan masyarakat tidak berkemampuan dan memerlukan rawatan didaftarkan, diberi latihan dan di skrin sebaik mungkin supaya mereka boleh dibantu mengikut kadar harga lebih murah”.

Demikian dinyatakan Aktivis Masyarakat Titiwangsa dan Penasihat Komuniti 1Malaysia (K1M) Taman Maluri, Datuk Dr. Elli Mohd Tahir ketika ditemui wartawan Malaysiaaktif dalam Sidang Media  Pertandingan Golf Amal  anjuran Kelab Rotary Damansara di Kelab Di Raja Selangor, Jalan Raja, Kuala Lumpur semalam.

“Penglibatan Jabatan Penerangan dan struktur sosial seumpama K1M dalam program  ini akan melicinkan lagi usaha NKF dalam menyebarkan dan memasarkan maklumat-maklumat benar di peringkat akar umbi masyarakat setempat,” tambahnya.

Presiden Kelab Rotary Damansara, Anna P. Raj berkata pertandingan golf yang julung kali ini akan diadakan di Bukit Jalil Golf & Country Resort pada 9 Oktober dan penyertaan terbuka kepada 120 pemain.

“Kami menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM100,000 yang akan digunakan untuk membantu pesakit-pesakit buah pinggang yang kurang kemampuan untuk mendapatkan rawatan dialisis”, ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Chua Hong berkata, “Pusat NKF pertama ditubuhkan oleh Kelab Rotary Petaling Jaya.  Ia bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran penyakit buah pinggang kepada masyarakat yang semakin  menular di Malaysia”.

“Terdapat 26 buah pusat dialisis milik NKF yang memberi rawatan kepada lebih 1,500 pesakit di seluruh negara kecuali Melaka dan Negeri Sembilan. Ramai pesakitnya terdiri daripada golongan kurang kemampuan untuk mendapatkan serta melanjutkan rawatan”, katanya lagi.

Dana yang dikumpulkan melalui pertandingan ini akan disalurkan ke Pusat Dialisis Selayang dan sebahagiannya pula akan digunakan untuk pembelian dua buah lagi mesin dialisis di pusat tersebut.

Selain rawatan dialisis, NKF turut menawarkan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat untuk mengenal pasti masalah buah pinggang supaya dapat menjalani rawatan susulan dari peringkat awal.

Sidang media ini menyaksikan wakil Kolej CQ Breyer, Rajendran menyerahkan sumbangan ‘mock cheque’ bernilai RM50,000 kepada penganjur untuk pembiayaian pusat-pusat dialisis NKF.

“Diharap penganjuran pertandingan golf amal ini dapat mencapai pasaran dana dengan mengumpul RM50,000 ribu lagi”, kata Anna.

Yuran bagi pasukan membabitkan empat pemain adalah RM2,000 dan penyertaan  terbuka sehingga 26 September 2016.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dijadual  akan melakukan pukulan ‘tee-off’ pada Pertandingan Golf Amal 2016 pada bulan Oktober ini.

DK

Tinggalkan komen anda