Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Melaka: Tiga Sidang Serah Semula Watikah Darjah Kebesaran Kepada Institusi Naning

By 22 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Khairunnisa Abd Rahman (Jasin)

JASIN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Rentetan daripada arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron supaya pengamal adat (Sidang) di negeri ini memulangkan semula darjah kebesaran daripada institusi yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Melaka, tiga Sidang bertindak memulangkan darjah kebesaran yang diterima.

Tiga Sidang yang terlibat, Shaari Abu (Kampung Peringgit), Nordin Ismail (Mukim Bukit Lintang) dan Haji Johari Khamis (Mukim Durian Tunggal) berbuat demikian di satu sidang media yang berlangsung petang semalam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Melaka, Shaari Abu, mereka bertiga dijemput untuk menghadiri majlis jamuan makan tengahari secara santai pada 27 April 2014 di salah sebuah hotel terkemuka di Melaka tanpa mengetahui tentang penganjuran majlis penganugerahan darjah kebesaran institusi Naning dalam majlis tersebut.

IMG-20160722-WA0024

“Saya dengan penuh rasa kesal dan tanggungjawab menyatakan kekesalan dan mohon maaf kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka dan Ketua Menteri.  Saya tampil untuk memulangkan kembali watikah dan darjah kebesaran Datuk Jasa yang membawa gelaran Datuk,” ujarnya.

“Saya telah dipakaikan setanjak sebagai Ketua Adat Temenggung Melaka.  Sebelum itu, saya akur untuk dipakaikan selendang kuning di satu sudut ketika saya sampai di situ tanpa tahu tujuan dan kemudian saya dijemput makan.  Saya tidak dianugerahkan apa-apa pingat dalam majlis itu.”

“Dalam masa lima hingga enam bulan selepas itu saya menerima watikah daripada sahabat saya tanpa saya mohon.  Saya tidak pernah mengguna pakai gelaran tersebut di mana-mana media sosial dan juga dalam surat menyurat,” tambah Shaari lagi.

Shaari turut menjelaskan dia tiba lewat ke majlis santai tersebut dan tidak tahu apa yang berlaku sebelum ketibaannya termasuk pengurniaan darjah kebesaran tersebut.

Haji Johari Khamis pula berkata: “Kami bukan orang yang disenaraikan untuk menerima anugerah dalam majlis tersebut. Tiada surat rasmi yang diberikan kepada kami.  Hanya watikah diserahkan enam bulan selepas majlis berlangsung. Kami langsung tidak mengguna pakai gelaran yang diberi.”

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abd Rahman yang memegang portfolio Sidang-Sidang Melaka turut hadir mewakili Ketua Menteri dalam majlis petang semalam.

“Keputusan Kerajaan Negeri mesti dipatuhi dan dihormati. Kita di peringkat Kerajaan Negeri tiada apa-apa halangan kepada kerabat Naning untuk menjalankan aktiviti dan adat istiadat hanya di wilayah adat Naning itu sendiri,” tegas Hasan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri tidak mahu terdapat sebarang bentuk kekeliruan bukan sahaja daripada rakyat Melaka malahan rakyat Malaysia terhadap standard penganugerahan darjah kebesaran di Melaka.

“Saya nak menegaskan sekali lagi bahawa mana-mana Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Sidang serta penjawat awam yang masih lagi berdegil dan sanggup menerima anugerah yang tidak diiktiraf Kerajaan Negeri, saya nasihatkan untuk berundur dari jawatan sedia ada atau menyerahkan kembali anugerah yang diterima sama ada yang membawa gelaran atau tidak dan meneruskan tugas seperti biasa,” katanya lagi.

Hasan turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada institusi adat (Sidang) Melaka yang masih setia dalam menghormati keputusan Ketua Menteri bersama EXCO Kerajaan Negeri.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda