Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bidang ‘Pengacaraan Majlis’ Semakin Diminati

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Mohammad Abd Rahman (Sabah)

PAPAR, 29 Jul (Malaysiaktif) –? Bengkel kemahiran sebagai seorang pengacara majlis, menarik minat seramai 36 peserta daripada Kelab 1Malaysia SMK Benoni, SMK Agama Limauan Kimanis, SMK Bongawan II, SMK Bongawan, Komuniti 1Malaysia (K1M) mukim Kuala, Benoni, Pengalat, Kawang dan Kimanis serta daripada ahli Pergerakkan Puteri UMNO Papar dan Kelab Bekalma Kimanis.

Penganjuran oleh Jabatan Penerangan Daerah Papar ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai agensi yang ingin mengasah bakat dan kemahiran sebagai pengacara majlis.

Penolong Kanan Pentadbiran SMK Majakir, Anuar Hj.Sidek berkata bengkel ini suatu yang tepat untuk mempertingkat kemahiran pengacaraan bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan guru-guru yang sering terlibat dengan pelbagai majlis peringkat sekolah.

“Diharap bengkel ini dapat diteruskan kerana bidang pengacaraan kini telah menjadi suatu kerjaya sampingan untuk memperoleh pendapatan seperti ramai pengacara hebat hari ini,” katanya semasa merasmikan Bengkel Pengacaraan dan Protokol Majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir, petang semalam.

Pegawai Penerangan Daerah, Zebulbahari Ag Tusof berkata penganjuran ini sebagai suatu langkah proaktif melatih peserta bukan sahaja sebagai persiapan mengendalikan sesuatu acara, malah dapat membentuk sahsiah serta keyakinan diri dalam menghadapi situasi mencabar sebagai seorang pengacara majlis.

“Bukan perkara mudah memastikan suatu acara itu berjalan dengan baik dan lancar sebagai pengacara kerana memerlukan kemahiran serta pengetahuan selain maklumat berkenaan majlis tersebut,” ujarnya lagi.03

Bengkel selama dua hari ini yang bermula pada Rabu lalu, mendapat bimbingan berharga daripada penceramah jemputan, mantan penerbit rancangan RTM Sabah selama 45 tahun, selain sebagai Juruhebah Sambilan VFM (English) dan Editor berita RTM yang berpengalaman. Hajah Azizah Hj Itam serta Institut Latihan Negeri Sabah (INSAN), Mursaid Abd Latif.

Peserta, Mini Abdullah, 60, meluahkan rasa terima kasih dan bertuah kerana terpilih untuk menyertai bengkel ini walaupun usia meningkat tapi keinginan untuk memahami cara sebenar sebagai seorang pengacara sentiasa menjadi idamannya.

“Ada perkara-perkara semasa mengendalikan majlis yang kita biasa buat tetapi sebenarnya ada lagi yang kita tidak tahu dan sepatutnya dilakukan bagi melancarkan sesuatu majlis,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda