Skip to main content
Berita TempatanSabah

Lima Anak Kapal “Serudung 3” Hilang

By 22 Julai 2016Tiada komen1 minit bacaan

Oleh: Adelaidah Arshad (Sabah)

KOTA KINABALU, 22 Julai (Malaysiaktif) –? Polis Kota Kinabalu memaklumkan lima orang krew sebuah kapal tunda Serudung 3 didapati hilang apabila kapal berkenaan dijumpai kosong dan terdampar di perairan Dent Heaven, pada Isnin, dikhuatiri mangsa diculik.

Hasil makluman orang awam, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi terbabit dan mendapati kapal berkenaan kosong tanpa anak kapal di samping keadaan kapal yang berselerak.

Pemilik kapal tunda, Lim Piak Wah, seorang warga tempatan ketika melaporkan kejadian tersebut memaklumkan kapal milik perusahaan beliau iaitu Serudung 3 dalam perjalanan balik ke Semporna setelah selesai menghantar muatan dari Sandakan, namun terkandas di perairan Dent Haven.

Lim menjelaskan ketika itu terdapat seramai lima orang anak kapal warga tempatan sedang bertugas iaitu Abdul Rahim Summas, 62, Tayudin Anjut, 45, Mohd Ridzuan Ismail, 32, Zulkipli Ali, 56 dan Fandi Bakran, 26.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes ini dan berusaha mengesan kelima-lima mangsa terbabit.

“Setakat ini sama ada daripada pemilik perusahaan mahupun pihak polis masih tidak mendapat sebarang panggilan meminta wang tebusan dan kesemua mangsa tidak dapat dihubungi,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, pada Selasa tadi.

SF

Tinggalkan komen anda