Skip to main content
Berita TempatanHome

Macam-Macam Ada di Sarawak Kitchen SUKMA 

By 30 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Lee Nyuk Lan (Kuching)

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Keenakan juadah Sarawak disajikan di Sarawak Kitchen sempena berlangsungnya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XVIII sejak 19 Julai hingga 31 Julai ini.

SUKMA Sarawak XVIII, yang mengumpulkan lebih 5,000 atlet dengan kebanyakannya tertumpu di bandar Kuching, merupakan satu platform terbaik untuk atlet-atlet terutamanya atlet dari Semenanjung untuk mencuba sendiri sajian menu Sarawak.

Beroperasi di pekarangan letak kereta Stadium Negeri, Sarawak Kitchen diwujudkan bertujuan untuk mempromosikan masakan Sarawak hasil kerjasama Unit Pembangunan dan Usahawan Industri Halal di Jabatan Ketua Menteri.

Sarawak Kitchen yang diusahakan oleh peniaga-peniaga tempatan memulakan perniagaan dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Antara makanan Sarawak yang popular di situ ialah Laksa Sarawak, Mee Kolok dan Aiskrim Gula Apong.

Atlet boling padang Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah Tarmizi

Atlet boling padang Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah Tarmizi

Salah seorang atlet boling padang Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah Tarmizi berkata bahawa masakan Sarawak memang sedap dan dia amat berpuas hati dapat merasa masakan yang lain dari Semenanjung,

“Sepanjang di negeri ini saya sempat merasa keenakan laksa Sarawak, mee kolok dan aiskrim gula apong. Ini merupakan kali pertama saya datang ke Sarawak dan saya mengambil kesempatan ini mencuba pelbagai menu yang ada di Sarawak Kitchen,” jelas Nur Ain Nabilah yang ditemui di Sarawak Kitchen semalam.

Gadis yang tidak lekang dengan senyuman ini menyatakan bahawa kek lapis merupakan buah tangan yang wajib dibawa balik apabila pulang ke negerinya nanti.

SK1

Antara pengunjung Sarawak Kitchen

Aiskrim Gula Apong yang dijual di Sarawak Kitchen juga menerima sambutan yang mengalakkan. Apa yang membuatkan aiskrim ini begitu dicari-cari kerana kelainannya menggunakan gula nipah sebagai salah satu bahan utama.

Menurut pekerja gerai aiskrim gula apong di situ, Nurhafanizai, sepanjang berlangsungnya SUKMA Sarawak XVIII, mereka memperoleh pendapatan harian sekurang-kurangnya RM200 hingga RM300 di Sarawak Kitchen.

“Ramai atlet dari negeri lain telah mencuba aiskrim gula apong, sebab aiskrim gula apong berbeza dengan aiskim lain. Aiskrim gula apong dijual dengan harga RM3 untuk saiz kecil dan RM5 untuk saiz besar.

“Terdapat pelbagai jenis topping iaitu cornflakes, oreo, kacang tumbuk dan milo. Sekiranya hanya satu pilihan topping kita bagi percuma tetapi jika mahu lebih daripada itu, perlu tambah 50 sen untuk setiap satu topping, ” ujarnya.

Selain itu, Bubor Sendok yang diusahakan oleh tiga adik-beradik, BZMZSiblings turut menjadi tumpuan pengunjung di Sarawak Kitchen. Ketiga-tiga mereka merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) namun memilih untuk menjalankan perniagaan kerana minat.

Menurut salah seorang daripada mereka, Nur Nabilla Khairunnisa, 26, Bubor Sendok mereka menggunakan resipi turun temurun yang diperoleh daripada nenek mereka.

“Bahan-bahan utama bubur kami ialah ikan bilis, daun ketumbar, telur ayam, telur masin, telur padi, ayam dan daging serta kicap pedas yang dibuat khas untuk dimakan bersama bubor sendok.

“Setakat ini, jualan Bubor Sendok mendapat sambutan yang menggalakkan. Dalam sehari, kami dapat jual sekurang-kurangnya 300 kontena bubur. Harga bubor biasa ialah RM6, special RM8 dan super special pula ialah RM10.

“Bubor Sendok merupakan bahasa Sarawak, namanya datang dengan ilham sewaktu menggaul bubur, kebiasaannya kita akan bertanya berapa senduk seseorang itu mahu,” ujarnya ketika ditanya berkenaan pemilihan nama Bubor Sendok.

-DZ/SF

Tinggalkan komen anda