Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Berhujan Demi Iringi Bas Atlet SUKMA

By 30 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Luhat Ajang (Kuching)

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Mengharungi hujan dan panas merupakan cabaran bagi pasukan Trafik PDRM Kontinjen Sarawak demi kelancaran lalu lintas sepanjang kejohanan SUKMA Sarawak XVIII.

Menurut DSP Alexson Naga Chabu, Pegawai Turus Trafik IPK Sarawak ketika ditemui semalam melahirkan kesyukuran kerana setakat ini tiada berlaku sebarang insiden yang boleh menjejaskan SUKMA selain satu insiden kecil yang melibatkan seorang anggota trafik di Miri pada 19 Julai lepas.

Dia berharap agar pengguna jalan raya khasnya sepanjang laluan acara sukan mahupun di lokasi pertandingan agar sentiasa mematuhi setiap arahan pihak berkuasa.

Bilik gerakan Trafik PDRM Kontinjen Sarawak yang dikenali sebagai Subtek PDRM Op Obor XVIII beroperasi mulai 14 Julai hingga 1 Ogos 2016, bagi memantau perjalanan SUKMA di seluruh Sarawak khasnya di lokasi-lokasi pertandingan iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.

Seramai 132 orang yang terdiri daripada 17 Pegawai Kanan dan 115 anggota pangkat rendah,  124 buah motosikal serta 28 orang anggota dari Sabah turut membantu dalam tugas kawalan trafik.

Walau berhujan dan berpanas

Antara tugas utama ialah mengiringi bas-bas yang membawa para atlet dari tempat penginapan di Perkampungan Sukan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan ke lokasi pertandingan dan perjalanan balik. Ketepatan masa amatlah penting dalam tugasan ini kerana para atlet perlu berada di lokasi pertandingan sejam sebelum acara dimulakan.

Alexson turut melahirkan rasa bangga dan gembira kerana kerjasama antara agensi kerajaan dalam menjayakan temasya kali ini amatlah baik.

Selain itu, anggota trafik juga ditugaskan mengawal di persimpangan jalan dan di kawasan lampu isyarat menuju ke lokasi pertandingan. Anggota trafik turut terlibat dalam kawalan trafik semasa Perasmian dan Penutupan SUKMA Sarawak XVIII.

Tugasan mengiringi rombongan bas yang membawa atlet adalah agak mencabar kerana berdepan dengan risiko kemalangan dan terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana hujan lebat kerap berlaku sepanjang kejohanan. Komitmen anggota trafik tidak boleh disangkal lagi demi menjayakan penganjuran SUKMA Sarawak XVIII ini.

Sementara itu seorang aggota trafik yang ditemui memberitahu perjalanan trafik khasnya di lokasi utama iaitu Stadium Sarawak dan sekitarnya amatlah lancar.

KPL Morthada Junaidi berkata, dia dan rakan setugas bertolak dari IPD Kuching seawal 6.00 pagi ke lokasi tugas masing-masing setiap hari. Tambahnya, pada hari perasmian lepas merupakan hari yang agak mencabar bagi mereka kerana  bertugas dalam keadaan hujan lebat.

 

-SF

Tinggalkan komen anda