Skip to main content
Berita SarawakHome

Sukan Memanah-Petugas Media, Atlet Berpuas Hati

By 30 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad & Linda John /  Foto: Razali Eli (Sarawak)

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaktif) – Rata-rata petugas media, atlet dan penyokong menyatakan kepuasan hati mereka dengan penganjuran acara memanah secara keseluruhannya apabila sukan tersebut akhirnya melabuhkan tirainya pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII semalam.

Acara memanah yang berlangsung di Unimas, Samarahan dari 24 hingga 29 Julai 2016 telah mempertandingkan sebanyak 24 acara dengan atlet Sabah mendominasi sukan tersebut dengan pungutan enam emas dan lima perak diikuti Terengganu dengan lima emas, lima perak dan dua gangsa sementara Kelantan cemerlang di tangga ketiga dengan tiga emas dan tiga perak.

Walaupun tempat tersebut terletak jauh dari bandar Kuching, semua acara telah berjalan dengan lancar dan memuaskan hati semua petugas, atlet dan penyokong yang terlibat.

Menurut wartawan Utusan Borneo, Nick Fletcher, 30, yang ditemui setelah tamat acara semalam, dia sangat berpuas hati khususnya terhadap pengurusan media kerana baginya petugas media begitu peka terhadap keperluan media untuk membuat liputan sepanjang acara memanah berlangsung. Saya bagi pihak media lain ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas media yang begitu komited.

Penolong Pegawai Perubatan, Myloso Did Jonas

Penolong Pegawai Perubatan, Myloso Did Jonas

Bagi Penolong Pegawai Perubatan di Unimas, Myloso Did Jonas, 25, dia berasa seronok kerana berpeluang untuk bertugas sepanjang berlangsungnya acara tersebut. Selama enam hari ini, tiada kes-kes yang kronik yang ditangani melainkan kes-kes seperti sakit kaki dan sakit kepala. Seorang doktor, pembantu pegawai perubatan, jururawat, dan pemandu ambulans adalah antara anggota medik yang turut bersiap sedia di lokasi pertandingan.

Edna Chiew,dari Kota Kinabalu Sabah yang merupakan ibu kepada atlet Sabah, Diana Tsen.

Edna Chiew,dari Kota Kinabalu Sabah yang merupakan ibu kepada atlet Sabah, Diana Tsen.

Sementara itu, Edna Chiew, 60, dari Kota Kinabalu Sabah yang merupakan ibu kepada atlet Sabah, Diana Tsen. penganjuran SUKMA Sarawak adalah baik dan terdapat peningkatan berbanding SUKMA yang terdahulu di samping podium yang disediakan memudahkan sesi bergambar. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya kerana dapat menyokong atlet-atlet yang bertanding.

Pegawai Teknikal, Mohd Shamsuldin, 62 dari Johor Baharu, turut berpuas hati kerana penganjuran ini mengikut standard kebangsaan setelah diselia oleh pengurus pertandingan yang berpengalaman.

Atlet Pahang, Arif Aiman Azian

Atlet Pahang, Arif Aiman Azian

Dalam pada itu, Atlet Pahang, Arif Aiman Azian, 16, yang merupakan pemenang pingat perak kategori berkumpulan bagi acara compound lelaki berkata SUKMA ke-18 merupakan kenangan manis kerana dia telah berjaya menebus kekecewaan ketika SUKMA di Perlis yang lalu. Ini adalah kali pertama saya memenangi pingat dalam kategori berkumpulan dan yang paling saya suka ialah dapat berdiri di podium dengan pingat perak dan menebus kesilapan lalu.

Bagi Sukarelawan Majlis Sukan Negara (MSN). Mardoline Matusin yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sabah, 22, berasal dari Nabawan, sepanjang dua minggu berada di Kuching dan di lokasi memanah, dia berasa gembira kerana mendapat pengalaman baharu dan berjumpa banyak kenalan. Kuching juga baginya merupakan tempat yang menarik dan dia juga turut belajar bahasa Iban.

Majlis penutupan SUKMA bakal berlangsung pada esok malam bertempat di Stadium Sarawak.

SF

Tinggalkan komen anda