Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeMelakaViral

“The Flying Youth” Olahragawan SUKMA XVIII

By 31 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Krish

KUCHING, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Setelah memecahkan rekod kebangsaan milik pelari sensasi negara Watson Nyambek di samping tiga lagi rekod kejohanan, atlet pecut Melaka, Khairul Hafiz Jantan diangkat sebagai Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Majlis Penutupan SUKMA XVIII 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya tadi.

Atlet pelapis kebangsaan itu membuka mata semua setelah memecahkan rekod kebangsaan 100 meter yang berusia 18 tahun dengan catatan 10.18 saat.

Khairul yang juga dikenali sebagai ‘The Flying Youth’ turut cemerlang memadamkan tiga lagi rekod SUKMA dalam acara 200 meter dengan 20.03 saat, 4×100 meter dengan 38.89 saat dan 4×400 meter dengan 3 minit 15.34 saat.

Atlet yang murah dengan senyuman itu berkata dia berasa gembira kerana tidak menjangka dipilih menjadi Olahragawan SUKMA pada edisi kali ini.

“Untuk SUKMA kali ini, matlamat saya hanya nak buat rekod kejohanan sekadar 10.27 saat tapi tak sangka dapat buat 10.18 saat. Semuanya oleh sebab latihan coach (jurulatih) Mohd Poad Mat Kassim.

SUK_5326

Timbalan Perdana Menteri menyampaikan piala kepada Khairul Hafiz Jantan bagi Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XVIII 2016 sambil diperhatikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Saya akan ikut setiap perancangan coach dan akan cuba membuat catatan masa terbaik pada Sukan Terbuka Malaysia September depan,” katanya yang baru sahaja kali pertama menyertai SUKMA.

Menyentuh berkenaan dirinya yang semakin popular Hafiz berpendapat dia tidak dapat mengelak semua itu.

“Kalau nak elak memang tak boleh, saya akan ikut cakap coach dan ibu bapa untuk terus mengekalkan prestasi saya. Jika dapat peluang, saya memang berhasrat untuk ambil pengalaman berlatih di luar negara.

Apabila ditanya berkenaan perancangannya selepas ini, Hafiz berkata dia akan menyambung pembelajarannya di Johor.

“Esok saya akan balik ke Melaka, bertemu dengan ibu bapa kerana sejak raya kedua ke Poland untuk Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bydgoszcz. Lusa pula saya perlu mendaftarkan diri bagi program Pra-Universiti di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail, Johor.

“September nanti saya akan cuba fokus kepada acara 200 meter sahaja seperti yang dirancang oleh coach dan berharap dapat mencatatkan  masa yang lebih bagus berbanding 20.03 saat yang saya lakukan di sini,” katanya yang gemarkan nasi ayam dan cekodok yang dimasak oleh ibunya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda