Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeTerengganuViral

Olahragawati SUKMA Milik Pemanah Terengganu

By 31 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri / Foto: Krish

KUCHING, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Atlet pertama yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII, pemanah Terengganu Nur Aqilah Yusof, 17, diumumkan sebagai Olahragawati SUKMA kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman tersebut, tadi, di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Dia yang kali kedua menyertai SUKMA tidak menyangka dirinya yang akan terpilih sebagai Olahragawati.

“Sebenarnya saya pun tak sangka akan terpilih sebab banyak saingan daripada sukan lain. Macam dalam sukan memanah pun ada juga yang pecahkan rekod kebangsaan dan SUKMA. Saya rasa amat gembira sebab saya dapat pecah rekod untuk tahun ini,” ujarnya yang berjaya meleburkan rekod berusia 13 tahun oleh atlet memanah Olimpik, Mon Redee Sut Txi dengan mengumpul 331 mata dalam acara memanah recurve wanita 70 meter berbanding 328 oleh Mon Redee.

Tambahnya, ketika SUKMA 2014, dia yang tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat berazam untuk membuat yang terbaik dan pada waktu yang sama menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Sebab masa 2014, saya tidak dapat apa-apa pingat, jadi itu jadi pembakar semangat saya untuk mencapai sesuatu pada SUKMA kali ini.

Nur Aqilah Yusof

Atlet Memanah Terengganu, Nur Aqilah Yusof, 17, gembira setelah dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA XVIII 2016.

“Memang ada sedikit perasaan untuk pecah rekod untuk tahun ini sebab training pun boleh dapat macam skor yang tinggi jadi saya pun membuat yang terbaik untuk kejohanan SUKMA tahun ini.

“Persaingan kali ini memang sengit dengan kehadiran lebih ramai atlet termasuk atlet MSN. Saingan sengit bagi saya adalah dari negeri Kedah. Dalam pasukan sendiri pun ada juga saingan sengit. Namun, kami semua bersaing secara sihat,” jelasnya.

Mengulas tentang kejayaannya, Nur Aqilah berkongsi rahsianya iaitu dengan berlatih enam hari seminggu.

“Saya hanya cuti sehari sahaja. Hari-hari lain akan dipenuhi dengan workout, jogging dan sebagainya. Tetapi, ketika bulan puasa hari itu, ada sedikit kurang sebab macam tak larat sedikit.

“Saya mula berlatih untuk SUKMA ini pada penghujung 2014, iaitu sejurus selepas berakhirnya SUKMA 2014. Kira sudah dua tahun jugalah. Ini merupakan SUKMA kedua saya. Masa SUKMA 2014, saya tidak dapat apa-apa pingat. Jadi, itulah pembakar semangat saya untuk membuat yang terbaik pada SUKMA kali ini,” katanya.

Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, atlet yang murah dengan senyuman ini memberitahu bahawa dia pernah menolak tawaran untuk menyertai atlet Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya pernah menolak tawaran MSN pada awal tahun kerana ingin fokus untuk SUKMA 2016. Jadi, saya memaklumkan pada mereka, selepas SUKMA atau selepas SPM baru saya terima balik tawaran tersebut.

“Perancangan selepas ini hanya nak fokus untuk SPM. Selepas SPM, barulah memulakan latihan untuk program MSN negara,” jelasnya.

Sebagai atlet pelapis negeri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Terengganu itu mengakui dia perlu bijak membahagikan masa antara sukan dan juga pelajaran.

“Macam kalau pergi sebarang perlawanan, saya akan bawa buku untuk ulang kaji dan saya juga akan bertanya kepada para senior untuk kejar balik apa yang dah tertinggal,” katanya.

Memilih Khairul Anuar Mohamad dan pemanah wanita Korea Selatan, Ki Bo Bae sebagai idola, Nur Aqilah berkata pencapaiannya pada SUKMA kali ini merupakan yang terbesar.

“Dalam perlawanan-perlawanan lain pun alhamdulillah saya dapat medal jugak. Cuma yang ini yang paling terbesar,” jelasnya yang pernah mendapat tempat ketiga. dalam pertandingan antarabangsa, Kejohanan Indoor Bangkok, Thailand tahun lepas.

Nur Aqilah turut mencatat satu rekod baharu kejohanan dengan 328 mata dalam acara memanah Recurve Wanita 60 meter dan membantu rakan sepasukannya untuk memenangi satu lagi emas dalam acara Recurve Berpasukan.

Dia membawa pulang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan piala sebagai olahragawati terbaik.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

-SF

Tinggalkan komen anda