Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Anak Sarawak Bakal Ketuai Kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Rio

By 13 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Aishah Latip (Kuching)

KUCHING, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Siapa sangka anak kelahiran Sarawak bakal membawa Jalur Gemilang dan mengetuai kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016 pada 7 hingga 18 September ini.

image

Ah Kee bakal membawa Jalur Gemilang pada Sukan Paralimpik Rio 2016

Jong Yee Khie yang lebih mesra disapa dengan panggilan Ah Kee, 28, merupakan atlet angkat berat paralimpik yang bakal bertanding mewakili Malaysia di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ketika atlet normal masih lagi ketinggalan di peringkat Asia, jauh sekali Olimpik, atlet kurang upaya ini telah membuktikan bahawa kekurangan mereka bukanlah penghalang untuk berjaya.image

Ah Kee yang layak ke Paralimpik secara merit dalam kategori 97kg merupakan antara lapan orang peserta terbaik dunia dan kini menyandang ranking ketujuh terbaik dunia.

Ah Kee yang dilahirkan normal pada 19 November 1988, telah kehilangan kaki kanan selepas mengalami kemalangan motosikal pada 2003 yang menyebabkan dia kini menggunakan kaki palsu untuk bergerak.

Belia luar biasa ini enggan mengalah dengan kekurangan fizikal dirinya yang turut memberi inspirasi kepada remaja orang kelainan upaya (OKU) yang lain.

Hal ini kerana dunia sukan sering dikaitkan dengan disiplin, semangat juang yang tinggi malah kesempurnaan fizikal untuk menjadi yang terbaik. Malah, atlet turut dilihat sebagai seorang yang memiliki karisma dan kesempurnaan fizikal lantas menjadi idola terutamanya dalam kalangan remaja.

Pemegang Rekod Kebangsaan tiga tahun berturut-turut bagi acara sukan angkat berat kategori 97kg ini telah meraih pingat emas bagi Sukan Paralimpiad Malaysia di Kuala Lumpur (2008), Melaka (2010), Pahang (2012), Perlis (2014) dan terkini di Sarawak dua minggu yang lalu.

Ah Kee ketika memungut pingat emas pada SUKMA Paralimpiad Sarawak 2016

Ah Kee ketika memungut pingat emas pada SUKMA Paralimpiad Sarawak 2016

Cukup membanggakan, anak kelahiran Sarawak ini terus cemerlang mencipta nama dalam sukan angkat berat di peringkat Asia apabila menempa nama di Sukan Para Asia di Incheon, Korea pada 2014 dengan memperoleh pingat gangsa. Pada tahun yang sama, beliau turut memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel.

Pada 2015, Ah Kee turut meraih pingat emas di Sukan Para Asean di Singapura dan kini pemegang rekod Asia. Selain itu, Ah Kee turut memenangi pingat gangsa bagi World Cup Championship di Kuala Lumpur yang melibatkan 40 buah negara anjuran International Powelifting Council (IPC).

Sementara itu, menurut Ketua Jurulatih Kebangsaan Jamil Adam, latihan intensif telah dijalankan di Bath Universiti United Kingdom, Dubai dan England dari awal tahun lagi untuk memantapkan persiapan yang terbaik bagi Jong Yie Khie ke Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ah Kee dan jurulatihnya Jamil ketika ditemui di Pusat Media

Ah Kee dan jurulatihnya Jamil Adam ketika ditemui di Pusat Media

Jamil yang bertanggungjawab sebagai jurulatih kepada Ah Kee turut menentukan hala tuju dan target kepada Ah Kee agar terus cemerlang dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Kini, Ah Kee merupakan atlet berstatus podium, berdiri sama tinggi dengan atlet kebangsaan seperti Lee Chong Wei dan Pandalela Rinong yang bakal menempa nama di peringkat dunia.

Berjaya mencapai sasaran sendiri untuk menjejakkan kaki ke Paralimpik, Ah Kee tidak mahu tertekan memikirkan pingat yang mahu diraih di Rio.

“Apa yang penting, saya hanya mahu buat yang terbaik untuk negara dan menyifatkan sebagai satu bonus jika berjaya menghadiahkan pingat buat negara di Rio kelak“, kata Ah Kee yang ditemui di Pusat Media, Stadium Akuatik Petra Jaya pada Rabu.

-SF

Tinggalkan komen anda