Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Berbanggalah Kita Anak Malaysia- KSU KKMM

By 13 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Mohamad Zairin Mohamad Zin (Subang Jaya)

SUBANG JAYA, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – “Walaupun kita di dalam negara mahu pun di luar negara, kita mesti menjunjung nusa kita dan berbangga menyatakan kita ialah anak Malaysia.”

Demikian tegas Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad pada Majlis Pelancaran Program MyMerdeka bersama Mydin sempena Bulan Kebangsaan 2016, semalam.

MyMerdeka bertujuan untuk menyampaikan informasi kenegaraan dalam menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan Rakyat Malaysia. MyMerdeka yang berkonsepkan one stop centre menggabungkan aktiviti komunikasi visual dan bersemuka menerusi pameran serta aktiviti berkonsepkan kenegaraan.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak pengurusan Mydin yang turut terlibat aktif bersama-sama dengan penganjuran program ini.

Tambahnya, “Banyak yang telah kita buat dalam usaha untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan kemerdekaan ini”.

“Pihak Jabatan Penerangan telah membuat pelbagai aktiviti terutamanya pameran bergambar, kuiz kemerdekaan, layar bestari, permainan interaktif, dan pengedaran bahan bercetak berkaitan dengan dasar kerajaan dan ini ialah usaha kita untuk membudayakan sehati sejiwa ini”, ujarnya.

“Kita ambil contoh di Amerika Syarikat, tidak kisah bangsa apa sekali pun, mereka akan kata “I’m Americans” dan kita di Malaysia pun mesti macam begitu dan berkata “I’m Malaysians” atau “saya anak Malaysia”, katanya lagi.

“Jika kita tidak ada perasaan itu dan kalau setiap hari perlu ada orang lain untuk menggelorakan dan menyemarakkan rasa kecintaan kepada negara kita, itu payah untuk dilakukan kerana rasa cinta itu perlu hadir dari dalam jiwa kita sendiri”, tuturnya.

Zarah juga berkata, “Moto sehati sejiwa itu sendiri telah memberikan kami satu iltizam untuk mengukuhkan rasa jati diri kita, rasa kasih sayang kita, rasa cinta kita, rasa semangat kita, harmoni, bersatu padu, kukuh kita menjunjung satu negara namanya Malaysia”.

“Sehati sejiwa ini merupakan tema pada tahun lepas dan tahun ini kerana sehati sejiwa ini bukannya kita boleh wujudkan dalam masa satu hari dan mungkin pada hari ini, generasi kini terlupa sebab mereka tidak merasa perit jerih pahlawan-pahlawan kita terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan tetapi saya percaya generasi bahawa ini, anda semua cinta akan Malaysia”, jelasnya.

Program MyMerdeka bersama Mydin diadakan pada tahun ini sempena menyambut Bulan Kebangsaan 2016. Program ini akan menjelajah ke Mydin yang terpilih mengikut zon masing-masing dan dimulakan di Mydin Subang Jaya pada 12-14 Ogos, Mydin Meru, Ipoh pada 19-21 Ogos, Mydin Bukit Mertajam pada 26-28 Ogos 2016, Mydin Pelangi Indah, Johor pada 2-4 September dan akhir sekali di Mydin Gong Badak, Kuala Terengganu pada 15-17 September.

-DK/SF

Tinggalkan komen anda