Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViralWilayah Persekutuan

Berjalan Sebagai Satu, Katakan ‘TIDAK’ Kepada Politik

By 10 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Diyana Zamri & Fauziah Hussain / Foto: Muhairul Azman Supian

PETALING JAYA, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kita ingin berjalan sebagai satu unit dan untuk satu hari sahaja, katakan ‘TIDAK’ kepada politik. Ini ialah sebuah program yang tidak berunsurkan politik. Kita ingin mengekalkannya hanya sebagai rakyat Malaysia.”

Bagi bekas Ketua Pengarang The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai, #AnakAnakMalaysia Walk adalah bagi mempomosikan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat.

Beliau yang kini Pengarah Urusan Star Media Group berkata acara yang melibatkan lebih 5,000 peserta ini satu inisiatif bersejarah.

“#AnakAnakMalaysia Walk ini merupakan program yang penuh bersejarah kerana saya rasa belum pernah ada sektor swasta yang membuat program Hari Kebangsaan dalam skala yang begitu besar.

8

Pengarah Urusan Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai (kiri) bersama Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Tambahnya, menerusi program ini, mereka ingin membincangkan berkenaan perpaduan, keharmonian dan kesederhanaan.

Dalam pada itu, Chun Wai berkata acara ini akan dapat diakses oleh rakyat Malaysia di dalam dan luar negara melalui media sosial, seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk memuat naik aksi mereka bergambar dengan Jalur Gemilang dan poster ‘Kami Anak-Anak Malaysia’ yang boleh mula dimuat turun menerusi laman Facebook The Star Online mulai 12.00 tengah hari, hari ini.

3

Datuk Ibrahim Abdul Rahman menurunkan tandatangan sambil diperhatikan oleh Datuk Seri Wong Chun Wai.

 

“Kami ingin rakyat Malaysia di serata dunia untuk turut serta dalam acara jalan kaki ini melalui media sosial juga. Ayuh, lakukan untuk Malaysia!” seru Chun Wai.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gmilang kepada Star Media Group di sini hari ini.

Sementara itu, sempena Hari Kebangsaan 2016, Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman menyeru semua pihak supaya menggelorakan semangat patriotik.

2

Datuk Ibrahim Abdul Rahman menyerahkan Jalur Gemilang kepada staf Star Media Group.

“Saya amat menyokong penuh usaha yang dilakukan pihak The Star untuk program #AnakAnakMalaysia Walk. Sebab itu, saya datang ke The Star untuk memberikan sokongan, bendera, buku dan sebagainya untuk mereka gunakan sempena #AnakAnakMalaysia Walk nanti,” jelas Ibrahim.

Acara jalan kaki sejauh 3.4 kilometer ini akan diadakan pada 14 Ogos bertempat di Bukit Bintang.

Turut menyatakan kehadiran dalam #AnakAnakMalaysia Walk ialah ahli perniagaan, Datuk Seri Nazir Razak, selebriti, Lisa Surihani, ahli komedi, Harith Iskander, kartunis, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat serta anggota kerabat Diraja Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda