Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jemaah Haji Sabah Tiba Di Madinah

By 17 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Zuraidah Ahmad & Ahmad Marif Ag Damit (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Malaysiaktif) – Kumpulan pertama jemaah haji Sabah yang berlepas dengan pesawat MH8109/KT24S pada malam Isnin, dijadual tiba di Madinah, Arab Saudi pada 9.10 pagi semalam waktu tempatan.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, kumpulan yang terdiri daripada 150 bakal haji itu merupakan sebahagian kecil daripada lebih 700 jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci secara berperingkat.

“Kumpulan kedua dan ketiga masing-masing akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 11.15 malam semalam dan 31 Ogos 2016 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum ke Madinah.HAJI4

“Kumpulan kedua akan diterbangkan dengan pesawat MH8109/KT25S manakala ketiga MH8109/KT41S masing-masing membawa 150 bakal haji, sementara selebihnya akan berlepas terus dari ibu negara,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Meraikan Jemaah Haji Kumpulan Pertama ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Sembulan dekat sini, malam Isnin.

Dalam ucapannya, Arifin menasihatkan jemaah haji agar menjaga tiga perkara iaitu niat mengerjakan haji, kesihatan diri serta mengekalkan imej baik negara.

“Paling penting ialah menjaga niat kerana dengan niat itulah akan menguatkan semangat, tekad, dan amal kita serta beroleh ganjaran daripada Allah SWT.

“Kedua, saya berharap jemaah haji menjaga kesihatan kerana ibadah haji mempunyai kaitan rapat dengan fizikal. Jika terdapat masalah, terus berhubung dengan pihak Tabung Haji di sana.

“Ketiga ialah menjaga imej negara kita yang sudah terkenal dengan akhlak, budi pekerti serta disiplin yang terbaik. Elakkan terlibat dengan perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik negara kita dengan Arab Saudi,” jelasnya.

Arifin turut meminta umat Islam yang sudah mendaftar sebagai jemaah tetapi belum mendapat peluang agar bersabar dan terus mempersiapkan diri dengan amal ibadah sebagai persiapan menunaikan rukun Islam kelima itu.

SF

Tinggalkan komen anda