Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

 150 Jemaah Haji Berlepas dari Kuching

By 17 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad

KUCHING, 17 Ogos, (Malaysiaaktif) – Penerbangan KT 25Q yang membawa 150 orang jemaah dari Kuching dijadualkan berlepas ke KLIA pada 11.45 malam tadi.

Menurut urus setia Tabung Haji (TH), bakal jemaah Sarawak ini akan digabungkan dengan kumpulan jemaah dari Sabah (150 orang), Kelantan (150 orang) dan Kelana Jaya (39 orang) di KLIA, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 489 jemaah negara.

Kumpulan jemaah KT 25 ini seterusnya akan berlepas dengan penerbangan terus dari KLIA ke Madinah dengan pesawat A380, MH 8022 yang dijadualkan pada 17 Ogos 2016 pada 4.40 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada 8.50 pagi waktu Saudi.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud menyempurnakan majlis mengucapkan selamat jalan kepada Jemaah Haji dari Sarawak ke Baitullahhilharam bagi Musim Haji 1437H/2016M yang berlangsung di Bay 9, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, malam tadi.WhatsApp Image 2016-08-17 at 8.13.26 AM

Tun Pehin Sri menyeru agar para bakal jemaah memberi tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur.

Para jemaah haji juga disaran agar memberi lebih perhatian terhadap tahap kesihatan masing-masing memandangkan cuaca di Tanah Suci yang diramalkan lebih panas pada tahun ini.

Di samping itu, para jemaah haji diharap dapat menjaga nama baik negara dengan mematuhi segala paraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Arab Saudi dan TH demi memelihara hubungan baik antara dua negara.

Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud serta dif-dif kehormat bersalaman dan mengambil kesempatan mengucapkan selamat jalan kepada para bakal jemaah sebelum masuk ke balai berlepas.

Menurut TH jumlah keseluruhan jemaah dari Sarawak ialah  seramai 450 orang dan berlepas dalam tiga penerbangan iaitu pada 15 Ogos seramai 150 orang jemaah, 16 Ogos 150 jemaah dan pada 31 Ogos pula 150 orang jemaah.

Malam tadi jumlah jemaah perempuan seramai 85 dan jemaah lelaki pula seramai 65 orang.

Awg Ibrahim bin Awg Draman yang berasal dari Kota Samarahan bekerja di Pejabat Daerah Kota Samarahan berkata dia berasa suka dan gembira sekali apabila namanya dan isteri dipanggil untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Saya menunggu selama sembilan tahun dan tidak terfikir nama saya dipanggil dan insya-Allah saya akan menunaikan sebaik mungkin agar memperoleh haji yang mabrur,” ujarnya.

Bagi Dyg Sabtuyah bt Awg Manan isteri kepada Awg Ibrahim pula bersyukur dan berterima kasih kerana mereka berjaya menunaikan niat untuk pergi ke Tanah Suci dan menjadi tetamu Allah pada musim haji dalam tahun ini dan sentiasa berdoa agar niat mreka dipermudah.

SF

Tinggalkan komen anda