Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Usah Lemparkan Tuduhan Tidak Berasas – EXCO Melaka

By 16 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman menyifatkan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan negeri menganiaya para peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral adalah tidak berasas.

“Mana-mana pihak yang menyalahkan kerajaan negeri berkaitan arahan memindahkan peniaga di Pasar Besar Melaka Sentral dengan segera supaya merujuk kepada pihak profesional sebelum melemparkan tuduhan,” tegasnya.

Menurut Ismail, ini akan menimbulkan kekeliruan kepada pihak peniaga di kawasan tersebut kerana kerajaan negeri telah menyediakan tapak sementara kepada mereka atas dasar mahu membela kebajikan serta nasib mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bahasa Melayu di Bangunan Graha Makmur Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pagi tadi.

“Saya telah mendengar pelbagai tuduhan dan ada yang mempertikaikan keputusan kerajaan negeri yang meletakkan peniaga ke tapak pasar sementara berhampiran pasaraya Kipmart di Bachang,” ujarnya.

Tambahnya, tuduhan tersebut ternyata tidak berasas kerana kerajaan negeri telah memikirkan pelbagai jenis alternatif untuk membantu 342 peniaga di pasar tersebut dan menyediakan pelbagai jenis kemudahan seperti kawasan perparitan terancang, termasuk menyediakan dapur untuk peniaga yang menjual makanan.

“Kerajaan negeri merujuk laporan badan profesional daripada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) yang membuat kajian di kawasan tapak bangunan pasar berkenaan dan mendapati tapak asas bangunan itu dikategorikan sebagai lemah serta tidak mampu menanggung beban jika terus beroperasi.

“Kita memerlukan kos kira-kira RM17 juta untuk membaik pulih pasar dan kerajaan negeri sedang menimbang perkara ini secara serius demi kepentingan para peniaga serta pengguna amnya,” jelas Ismail.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda