Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Virus Parvo: 11 Ekor Anjing Masih Dikuarantin Di SPCA Melaka

By 16 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Virus Parvo atau Canine Parvovirus Virus (CPV) yang merebak di negeri ini bulan lepas telah mengorbankan 40 ekor anjing di bawah jagaan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) di sini

Pengurus SPCA Melaka, Diana Kah berkata, kini 11 ekor anjing jagaan pusat tersebut masih dikuarantin di bangunan berasingan kerana virus itu mampu bertahan di dalam badan mangsa dan juga persekitaran  lebih daripada enam bulan.

Anjing kuarantin 2

Sebahagian anjing yang dikuarantin di SPCA.

 

“Virus Parvo menyerang anjing-anjing di sini oleh sebab bawaan anjing baru yang tidak menunjukkan sebarang simptom awal. Jadi, kami pun tidak jangka apabila ia merebak dengan pantas dalam tempoh hanya 10 hari,” jelas Diana.

CPV ialah penyakit virus yang mudah berjangkit dalam kalangan anjing serta boleh menghasilkan penyakit yang mengancam nyawa. Serangan virus tersebut membahagikan sel-sel dalam badan anjing dengan pantas dan yang paling teruk terjejas ialah saluran usus.

Parvovirus juga menyerang sel-sel darah putih. Sekiranya haiwan muda terkena jangkitan tersebut, CPV boleh merosakkan otot jantung dan menyebabkan masalah jantung sepanjang hayat.

Pengurus SPCA, Diana Kah

Pengurus SPCA, DIana Kah berharap masyarakat lebih peka dengan kebajikan haiwan terbiar dan turut sama membantu rumah-rumah perlindungan.

 

Menurut Diana, terdapat pelbagai simptom yang boleh dikesan jika haiwan diserang virus Parvo, antaranya haiwan menjadi lesu, kurang selera makan dan mengalami muntah-muntah.

Sementara itu, lawatan wartawan Malayasiaaktif ke pusat tersebut mendapati sejumlah 231 ekor anjing dan 74 ekor kucing diberikan perlindungan dalam keadaan yang amat memerlukan pembaikkan bagi keselesaan mereka.

SPCA 1

Keadaan SPCA yang memerlukan bantuan orang ramai.

 

Sehubngan itu, setelah 24 tahun diwujudkan, SPCA Melaka amat memerlukan bantuan daripada pihak luar untuk membiayai operasi dan usaha murni di pusat tersebut.

Diana berkata sekiranya SPCA Melaka menerima sumbangan berbentuk wang, mereka akan mengutamakan penyediaan makanan kepada kesemua haiwan tersebut.

“Kos untuk makan saja kami peruntukkan RM300 sehari tidak termasuk kos perubatan. Sebab itu kami akan beli makanan secukupnya dan kalau ada lebihan dana barulah kami akan fikirkan pasal keceriaan,” ujar Diana.

Jumlah haiwan yang banyak dengan ruang yang terhad di SPCA memaksa mereka mengutamakan haiwan yang cedera dan sakit untuk memasuki rumah perlindungan tersebut.

Kucing 2

Antara kucing dalam jagaan SPCA.

 

“Ramai juga yang datang secara walk-in untuk minta kami ambil alih penjagaan anjing atau kucing mereka, tapi kami terpaksa kenakan penalti RM180 sebagai biaya kos vaksin dan ubat cacing.

“Penalti dikenakan kerana kami tidak menggalakkan pembuangan haiwan dan di waktu yang sama memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan menyayangi haiwan peliharaan,” jelasnya lagi.

Anjing 1

Antara anijng yang baru dihantar ke SPCA.

 

Dalam pada itu, bagi menampung perbelanjaan harian pusat tersebut, SPCA Melaka dari semasa ke semasa membuka gerai-gerai jualan amal untuk mengutip dana, namun ada kalanya, jumlah derma yang diperoleh tidak melepasi nilai minimum untuk memenuhi keperluan.

Diana turut berharap agar masyarakat sekitar lebih peka dengan kebajikan haiwan terbiar dan turut membantu rumah-rumah perlindungan dengan menghulurkan dana seperti makanan, surat khabar lama, tuala terpakai dan bahan pencuci.

 

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda