Skip to main content
Berita TempatanLabuanViralWilayah Persekutuan

300 Pelajar Manfaat Seminar Kecemerlangan SPM Percuma

By 30 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Faizal Mansor / Foto : Jeffrey Nian

LABUAN 30 Sept (Malaysiaaktif) –  Seramai 300 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah terpilih untuk menyertai Seminar Kecemerlangan SPM 2016 secara percuma untuk mendapat pendedahan mengenai format SPM, sekaligus dapat digunakan semasa menjawab peperiksaan.

Kesemua pelajar kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun 2016.

Peserta seminar, Mohd Arif Hafizan, 17, calon SPM dari Sekolah Menengah Sains Labuan, berpendapat seminar tersebut membantu dari segi memberikan input untuk dimanfaatkan semasa peperiksaan SPM kelak.

Beliau juga berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu pelajar menyusun strategi peperiksaan, khususnya pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

Bagi Nur Syasya Humaira, 17, melalui seminar itu beliau dapat berinteraksi dengan rakan-rakan pelajar yang berlainan sekolah tentang teknik pembelajaran serta berkongsi kaedah.

Majlis penutupan seminar empat hari bermula 26 September lalu anjuran  Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta Labuan International School disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Roslan Hassan di Auditorium Labuan International School, di sini, petang kelmarin.

Roslan (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta

Roslan (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta

 

Menurut Roslan, YWP turut menyediakan Skim Bantuan Awal kepada anak-anak Wilayah Persekutuan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah, selain memperkenalkan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi secara pembiayaan penuh sehingga mereka tamat peringkat ijazah di Institutsi Pengajian Awam (IPTA).

Antara tip seminar diperturunkan termasuk untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik yang dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebanyak 11 buah sekolah menengah di Labuan mengambil bahagian dalam seminar tersebut.

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda