Foto: IKTBN Dusun Tua
Oleh Noor Suzilawati Jamaludin (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 30 September (Malaysiaaktif) — Tenaga pengajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua akan diberikan latihan Master Class oleh pakar-pakar industri dalam bidang berkaitan.
Sehubungan itu, IKTBN juga akan menjadi pusat latihan pakar pengeluar cat sembur, Roberlo yang berpangkalan di Sepanyol.
Pemeteraian Memorandum Kesefahaman (MOU) bagi kerjasama itu berlangsung di sini hari ini dengan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Mengulas tentang inisiatif tersebut, Khairy berkata pelaburan yang dibuat oleh Roberlo itu memanfaatkan pelajar IKTBN dan juga industri berkenaan melalui pemindahan pengetahuan, kemahiran, teknologi serta kepakaran dalam bidang cat sembur.
Menurut beliau, ini kerana apabila pelajar mendapat latihan bersesuaian dengan keperluan industri, ia akan mengurangkan kos dan seterusnya meningkatkan keberkesanan.
Di bawah MOU itu, Roberlo akan menyumbangkan bahan-bahan untuk cat sembur berjumlah €8,000 (RM36,000) kepada IKTBN dan seterusnya akan mengadakan Master Class serta seminar untuk tenaga pengajar sekurang-kurang sekali setiap tahun.
Majlis menandatangan MOU itu berlangsung serentak sempena sambutan Jubli Emas (50 tahun) penubuhan IKTBN. Syarikat Roberlo diwakili Robecoat (M) Sdn Bhd.
Dalam ucapannya Khairy berkata kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam dan luar negara mampu menyediakan peluang kepada pelajar menambahkan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri berkenaan.
Sementara itu, alumni 1987-1989 IKTBN, Isa Ahmad yang ditemui Malaysiaaktif berkata penekanan kepada disiplin di IKTBN mampu membina jati diri bagi menghadapi apa jua keadaan untuk menyerlah setelah tamat kursus.
Status pusat ini yang dahulunya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dinaiktaraf kepada IKTBN pada 5 November tahun lalu bagi membolehkannya menawarkan kursusu di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1,2 dan 3 bidang Automotif, Mekanikal dan Elektrik serta Program Diploma Automotif dan Elektrik.
Turut hadir dalam majlis hari ini Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, Carlos Dominguez Diaz dan Dato Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.