Skip to main content
Berita TempatanLabuanViralWilayah Persekutuan

“Edidih Badudun Kitani”2016 Semarakkan Kebudayaan Melayu Brunei – Kadayan

By 5 September 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 


Oleh: Mohd Faizal Mansor (Labuan) / Foto: Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 06 Sept (Malaysiaaktif) – Majlis “Edidih Badudun Kitani”2016 menyemarakkan kebudayaan suku kaum melayu Brunei-Kadayan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas khususnya kepada generasi muda di Labuan.

Menurut salah seorang warga Labuan, Juil@Juman Rafie, 42, berpendapat platform sebegini amat sesuai untuk menghidupkan kembali kesenian mahupun makanan tradisi masyarakat Melayu Brunei – Kadayan agar tidak pupus dan sentiasa dipelajari oleh generasi sekarang untuk diperturunkan kepada anak cucu mereka.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Labuan, Mohd Zam Ali, maksud “Edidih Badudun Kitani diambil daripada bahasa suku kaum Melayu Brunei – Kedayan yang bermaksud berduyun-duyun kita datang atau datang beramai-ramai.

Memotong pulut kuning simbolik perasmian

Memotong pulut kuning simbolik perasmian

Katanya, program ini merupakan usaha pihak RTM Labuan untuk memartabatkan budaya Melayu Brunei – Kadayan khususnya dalam penggunaan dialek suku kaum tersebut agar terus terpelihara dan digunakan oleh generasi muda pada masa kini disamping beramah-mesra dengan para penyampai Radio Labuan FM.

Firdaus Latip, 31, pengunjung dari Johor, berasa terhibur dengan persembahan kebudayaan yang diadakan di samping beliau juga dapat mengenali kebudayaan masyarakat tempatan di sini.
Program anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Labuan melalui Radio Malaysia Labuan dengan kerjasama Financial Park Labuan Sdn. Bhd. telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli ini telah sebelas kali diadakan sejak tahun 2009 .

Menurut Rozman, ia merupakan salah satu lagi daya tarikan pelancong bukan sahaja dari luar bahkan sekitar Borneo untuk mengenali tradisi masyarakat setempat yang ada di Labuan ini.

Ini kerana pertumbuhan industri pelancongan di Labuan kini semakin meningkat maju khususnya kedatangan para pelancong dari Negara China, kata beliau lagi.

Justeru, program seperti ini boleh dijadikan sebagai produk daya tarik kepada para pelancong tersebut bagi memaparkan keindahan kebudayaan masyarakat suku kaum Melayu Brunei -Kadayan, tambahnya lagi.

Program tersebut yang telah berlansung selama dua hari bermula pada 3 September lepas telah diisi dengan pelbagai program antaranya pertandingan masakan tradisi Tumpi dan cacahnya. Pertandingan Menutuk Sambal, pertandingan meragi kikik, sesi beramah mesra bersama Penyampai Radio Labuan FM, Persembahan Artis Jay Jay dan lain-lain lagi.

Program “Edidih Badudun Kitani”2016 adalah inspirasi daripada ‘rancangan Edidih’ iaitu siaran rancangan dalam bahasa atau dialek tempatan Melayu Brunei-Kadayan yang ke udara setiap hari di Labuan FM pada pukul 3 hingga 5 petang.

MRR

Tinggalkan komen anda