Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kerajaan Tidak Halang Suara Generasi Muda – Salleh 

By 5 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Zuraidah Ahmad & Johny George Kimlon (Sabah)

 SIPITANG, 4 September – Kerajaan tidak pernah menghalang pandangan serta suara rakyat khususnya generasi muda.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata golongan itu bagaimanapun perlu menyuarakan pandangan dengan cara yang betul dan melalui forum yang sah.

“Generasi muda perlu memiliki keupayaan menapis  tujuan kempen yang dianjurkan pihak tertentu supaya tidak merosakkan masa depan.

“Kini terdapat pihak tidak bertanggungjawab menanam kebencian terhadap pemerintah serta menggunakan sentimen kaum dan agama sehingga menimbulkan kegusaran dan perpecahan dalam kalangan rakyat,” ujarnya

Smrak6

Salleh menurunkan tandatangan pada kain rentang Sehati Sejiwa di gerai K1M.

 

Dalam pada itu, Salleh turut mengingatkan masyarakat agar memiliki pengetahuan supaya dapat menilai dan menyaring kebenaran sesuatu isu viral dalam media sosial.

Tambah beliau, perpecahan dan pemikiran yang masih dijajah anasir luar hanya akan merencatkan agenda pembangunan negara.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program Semarak Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri di sini, pada Sabtu malam.

Dalam perkembangan berkaitan, Salleh turut mengumumkan KKMM akan membangunkan prasarana jalur lebar bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan pedalaman.

Beliau juga telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk turun padang dan berbincang dengan para pemimpin setempat untuk meneliti dan merancang keperluan tersebut.

Jelasnya, apa jua kekangan akan diselesaikan KKMM demi mewujudkan era dunia tanpa sempadan, selaras dengan sasaran 95 peratus kawasan di negara ini ditembusi jalur lebar menjelang tahun 2020.

Katanya, kemudahan tersebut mampu memberi manfaat kepada rakyat dalam menjana ekonomi, peluang pekerjaan, mengeratkan hubungan keluarga dan masyarakat serta meluaskan jaringan hubungan dengan dunia luar.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda