Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

[VIDEO] Si Cilik Naik Haji

By 7 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan, foto dan video oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 7 Sept (Malaysiaaktif) – Melihat cucu kesayangan melakukan satu persatu ibadah haji bermula daripada wukuf hingga sembelihan korban menerbitkan perasaan rindu dalam diri Haji Anuar Mohd Noor, 61, untuk ke tanah suci.

“Hari ini saya rasa seolah-olah saya berada di Mekah melihat semua ini berlaku di depan mata. Saya gembira cucu saya rajin bertanya tentang ayat-ayat yang perlu dibaca dan ini merupakan satu pendedahan yang baik untuk dia,” ujarnya yang telah tiga kali menunaikan haji.

Anuar yang berasal dari Klang, Selangor sanggup datang ke Melaka untuk menemani cucu, menjalani Program Simulasi Haji Cilik di Melaka, bagi menggantikan anak perempuannya yang baru sahaja bersalin.

Haji Anuar Mohd Noor gembira cucunya rajin bertanya mengenai ibadah haji.

Haji Anuar Mohd Noor gembira cucunya rajin bertanya mengenai ibadah haji.

 

Program yang julung kali diadakan ini disertai oleh 24 buah tadika swasta melibatkan 320 orang kanak-kanak yang bersama-sama mengerjakan ibadah haji seperti wukuf, mengutip batu, melontar jamrah, tawaf, sai, tahalul dan sembelihan korban di Masjid Cina di sini.

Menurut Pengusaha Tadika Anakku Manja, Teo Mary Lin, program ini sebaiknya dilaksanakan setiap tahun kerana murid-murid akan sentiasa bertukar dan murid baru pula boleh turut merasai pengalaman yang sama.

Tahallul 2

Tahalul – perbuatan mencukur dan meng­gunting rambut untuk melepaskan diri daripada ihram selepas melakukan ibadah haji dan umrah.

Sebahagian kanak-kanak tadika sedang melakukan Mabit - m,ngutip tiga biji batu.

Sebahagian kanak-kanak tadika sedang melakukan Mabit – mengutip tiga biji batu.

 

“Saya suka untuk bersama-sama menyertai program ini bersama mereka. Mungkin ada cikgu berbangsa Cina tidak mahu datang mungkin sebab takut datang masjid, tapi pada saya, kita mesti buka minda kerana kita mengajar kanak-kanak tadika.

“Jangan ajar mereka orang bukan Islam tidak boleh masuk ke masjid atau orang Islam tak boleh masuk gereja kerana kita satu Malaysia. Kita perlu pelajari semua tidak kira apa agama yang kita anuti,” jelasnya.

Peserta program sedang melakukan tawaf.

Peserta program sedang melakukan tawaf – perbuatan berjalan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali sambil berdoa.

 

Tambahnya, walaupun tadika miliknya bukan tadika Islam sepenuhnya tetapi mereka sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka menyertai program ini walaupun dikenakan sedikit bayaran kerana pasti anak-anak akan mempelajari sesuatu di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Negeri Melaka, Suhaili Othman berkata, penglibatan sahabat berbangsa Cina yang menyertai program ini adalah sebagai satu pemangkin kepada pemilik tadika lain untuk memberi pendekatan agama kepada anak murid jagaan mereka.

Melontar jamrah 3

Sedang melontar jamrah – salah satu daripada wajib haji yg dilakukan dengan melemparkan anak-anak batu di tempat-tempat tertentu di Mina.

Wukuf

“Kami melihat pendekatan ini sangat baik diterapkan kepada anak didik kami dan hari pelaksanaan program ini juga sangat hampir dengan sambutan Hari Raya Aidiladha. Ini boleh menjadi pemangkin kepada mereka untuk menghayati tawaf dan korban,” ujarnya.

Kata Suhaili, ada juga antara anak didik mereka yang menyuarakan hasrat kepada ibu bapa untuk mula menabung agar mereka dapat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Peserta program sedang membuat sai.

Peserta program sedang membuat sai – berjalan ulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali.

 

Kira-kira 1,500 kanak-kanak diraikan pada hari ini dalam program yang sama yang dijalankan serentak di sembilan buah negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah.

Turut hadir, Pegawai Jabatan Pendidikan Unit Pendidikan Swasta Melaka, Zubaidah Baba dan Imam 2 Masjid Cina Krubong Melaka, Ustaz Murad Ahmat.

Dari kiri, Suhaili, Zubaidah, Mary dan Ustaz Murad.

Dari kiri, Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Negeri Melaka, Suhaili Othman, Pegawai Jabatan Pendidikan Unit Pendidikan Swasta Melaka, Zubaidah Baba, Pengusaha Tadika Anakku Manja, Teo Mary Lin dan Imam 2 Masjid Cina Krubong Melaka, Ustaz Murad Ahmat.

 

Dalam pada itu, Ustaz Murad selaku tuan rumah turut memuji pelaksanaan program ini kerana menurutnya kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun memang patut diberi pendedahan memandangkan kini terdapat ibu bapa yang memang mampu untuk membawa anak-anak menunaikan haji.

“Pendedahan ini agar anak-anak bersedia, dan bukan ke sana sekadar untuk berjalan-jalan, tetapi masih melakukan ibadah walaupun mereka masih kecil tetapi tetap diangkat dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t,” jelasnya.

gambar kumpulan si cilik naik haji

Ustaz Murad turut berharap agar dapat berkolaborasi dalam majlis-majlis ilmu pada masa akan datang termasuk mendedahkan kanak-kanak ini dengan program lain seperti menguruskan jenazah ataupun sembelihan korban.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda