Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Syarikat Tempatan Buka Peluang Kerjaya kepada Pesalah Dadah

By 8 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Zaman Aziz (Sepang)

SEPANG, 9 Sept (Malaysiaaktif) – “Bukan mudah bersaing di pasaran pekerjaan dan peluang ini memudahkan saya dan pelatih lain untuk mendapat kerja bagi meneruskan kehidupan selepas keluar dari pusat.”

Pandangan tersebut dikongsi oleh pelatih, Abu Zarin Abdul Rahman ketika ditemui semasa sesi temu duga, Jom Cari Kerja Pusat Pembangunan Kerjaya, Cure & Care Vocational Centre (CCVC), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang berlangsung di Kota Warisan pagi ini.

Menurut Pengarah CCVC, Ibrahim Bujang, pendekatan ini dapat memberi pendedahan kepada pelatih selain peluang kerjaya berdasarkan bidang kemahiran yang dipelajari pelatih dalam menentukan hala tuju di samping kekal pulih selepas tamat kursus dan keluar dari pusat.

Pengarah CCVC Sepang, Ibrahim Bujang menyatakan seramai 90 pelatih bakal ditemu duga dalam program Jom Cari Kerja CCVC 2016

Pengarah CCVC Sepang, Ibrahim Bujang menyatakan seramai 90 pelatih bakal ditemu duga dalam program Jom Cari Kerja CCVC 2016

Tambahnya, pelatih Sesi 1/2016 yang terlibat dalam sesi temu duga diharap dapat memanfaatkan peluang kerjaya yang ditawarkan bagi berdaya saing di pasaran kerja tempatan dengan masa depan yang terjamin selepas menjalani pemulihan dan tamat latihan kemahiran selama enam bulan di pusat ini.

Seramai 90 yang merupakan pelatih bidang kursus Automatif, Elektrik, Jahitan, Kimpalan, Pastri, Landskap, Senibina dan Penyelenggaraan terlibat dalam sesi temu duga berkenaan.

Sebanyak tujuh syarikat iaitu Mutiara Kayamas Sdn. Bhd., Lestari Sales & Services, Port Dickson Golf Club & Country Resort, ZMN Family Services Sdn. Bhd., Ideal Mega Apparel, Istisyarran Niaga dan Weng Wasilah Engineering menawarkan peluang pekerjaan mengikut bidang kemahiran pelatih.

Pelatih diberi latihan selama enam bulan mengikut modul Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) bagi bidang automatif, GIAT MARA (elektrik dan jahitan) serta Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi kursus-kursus lain. Pelatih yang menamatkan kursus pada 23 September nanti bakal ditauliah dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sementara itu, Pengurus ZMN Family Services Sdn. Bhd., Hj. Shuhery Shuib berkata, kemahiran vokasional yang ditimba oleh pelatih mendorong keyakinan tinggi syarikat menawarkan peluang pekerjaan dan mengambil pelatih CCVC untuk bekerja.

“Ini bukan kali pertama syarikat saya mengambil pekerja dalam kalangan pesalah dadah. Kami melihat mereka ini mempunyai asas yang baik untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Namun pada masa yang sama pemantauan tetap dibuat dengan kerjasama AADK tempatan,” ujarnya.

CCVC merupakan institusi latihan yang menyediakan latihan kemahiran vokasional kepada pelatih yang berada pada fasa akhir rawatan dan pemulihan penagihan dadah di seluruh Malaysia.

SF

Tinggalkan komen anda