Skip to main content
Berita TempatanLabuanViralWilayah Persekutuan

141 dari 100 Ribu Rakyat Malaysia Di Serang Sakit Jantung

By 30 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Mohd Faizal Mansor
Foto oleh:Jeffrey Nian

LABUAN, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa di Malaysia kejadian serangan jantung adalah sekitar 141 orang bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia dalam setahun dan menyebabkan kira-kira tujuh peratus kematian di hospital-hospital kerajaan.

Statistik kementerian itu juga menunjukkan bahawa penyakit jantung merupakan penyebab kelima kemasukkan ke hospital KKM dan swasta pada tahun 2013 serta merupakan penyebab kematian utama di hospital.

Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Mohd Zaki Ab Hamid berkata demikian pada Sambutan Hari Jantung Sedunia dan Mini Konvensyen Komuniti Sihat, Perkasa Negara (KOSPEN) peringkat Labuan 2016 di perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan, pagi tadi.

Menurut Zaki, ini menunjukkan bahawa penyakit jantung atau kardiovaskular yang kadangkala disebut sebagai ‘Silent Killer’ merupakan penyakit yang perlu diambil serius kerana ia boleh membawa maut jika tidak di kesan dari awal.

“Sebagai langkah, amalan gaya hidup yang sihat dan aktif seperti mengambil pemakanan yang seimbang, tidak merokok, tidak mengambil alkohol secara berlebihan, bijak menangani stress dan tekanan hidup serta memastikan berat badan yang ideal merupakan langkah awal pencegahan sakit jantung”, ujar beliau.

Langkah ini perlu kerana sejak kebelakangan ini, peningkatan bilangan kes melibatkan golongan yang lebih muda serta golongan wanita. Kes pesakit yang termuda iaitu berumur 19 tahun telah dicatatkan, ujar beliau lagi.

Menurut salah seorang pengunjung, Zulfadliey Haji Jumat, 36, amat menyambut baik program tersebut kerana ia banyak memberi maklumat tentang risiko penyakit jantung yang selama ini diambil enteng oleh masyarakat.

Beliau berharap melalui program tersebut risiko penyakit jantung dapat dielakkan khususnya apabila umur semakin meningkat.

Antara pengisian program tersebut adalah pameran serta pemeriksaan kesihatan secara percuma, program kembara jantung sihat, program pengurusan berat badan dan lain- lain lagi.

Sambutan tersebut telah dirasmikan oleh Senator Dewan Negara, Datuk Haji Yunus Haji Kurus.

Tinggalkan komen anda