Skip to main content
Home

PDRM Dalam Usaha Patenkan Produk Inovasi

By 30 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam usaha untuk mempatenkan lima ciptaan inovasi mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2016 di Hotel Ramada, di sini pada Jumaat.

“Namun, proses paten yang amat sukar dan memerlukan kos yang banyak termasuklah proses yang panjang memberikan sedikit kesukaran untuk mempatenkan ciptaan inovasi PDRM,” ujar Khalid.

Lima produk inovasi tersebut telahpun mendapat pertanyaan daripada pihak swasta yang berminat untuk menghasilkannya secara komersial.

“Tapi, saya difahamkan bahawa Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah sedia untuk membantu kita, dan saya harap ciptaan-ciptaan ini akan dapat dipatenkan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata hari inovasi yang diadakan setiap tahun didapati terdapat penambahan kumpulan yang bertanding dan mengetengahkan beberapa inovasi dan ciptaan yang baharu.

“Antara produk yang akan dipatenkan ialah i-vest iaitu vest keselamatan yang diperbuat daripada bahan yang ringan tetapi kuat yang mampu menjaga keselamatan anggota polis semasa menjalankan tugas. Saya juga bangga kerana ada beberapa ciptaan ‘dipinang’ oleh syarikat swasta,” katanya.

IPD Melaka Tengah memenangi Johan pertandingan inovasi untuk kategori teknikal

IPD Melaka Tengah memenangi Johan pertandingan inovasi untuk kategori teknikal.

 

Tambahnya, ada antara ciptaan itu menjimatkan penggunaan bahan bakar dan ada juga yang memanjangkan hayat bateri dalam bot-bot marin.

“Yang ini satu ciptaan yang kita kira amat berjaya kerana ini adalah satu masalah yang kita hadapi dalam bot-bot cawangan marin kita yang baterinya tidak tahan lama,” jelasnya.

Kata Khalid, yang terkini ciptaan baharu menggunakan sekam padi yang digunakan di lokasi jenayah untuk mengesan cap jari penjenayah.

“Ini adalah salah satu ciptaan yang sangat kreatif dan saya percaya ciptaan ini juga dapat tingkatkan lagi keupayaan kita dalam menimbulkan cap jari di tempat-tempat kejadian dan menjimatkan kos kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi, PDRM bersama inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sedang merancang untuk memberi pengetahuan pendidikan kepada semua warga PDRM.

“Pihak NBOS kini sedang menganjurkan kursus hardware berkenaan inovasi dan kreativi.

“Saya harap ramai warga PDRM akan menyertai kursus ini kerana sudah semestinya ia akan dapat mencetuskan pengetahuan untuk menjadi lebih inovatif dan kratif,” katanya.

 

-DZ/AAS
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda