Skip to main content
Home

Kakitangan Kerajaan Dinasihat Jaga Rahsia

By 30 Oktober 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Khalid Abu Bakar memaklumkan ada menerima laporan berkenaan kemungkinan rahsia-rahsia kerajaan dibocorkan oleh bekas-bekas menteri atau ahli parlimen.

Laporan berikut mengaitkan seorang bekas menteri yang membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini dan pihak polis dikatakan akan menjalankan siasatan jika benar perkara tersebut berlaku.

“Saya menasihati mana-mana kakitangan kerajaan, apabila telah meninggalkan perkhidmatan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang dibuat,” ujarnya.

1

“Ini kerana mereka telah bersumpah, berikrar serta menandatangani akuan sumpah dan jika mereka membocorkan apa-apa rahsia kerajaan, tindakan boleh diambil terhadap mereka.

“Saya suka mengingatkan semua, tidak kira siapa, walaupun mereka bekas kakitangan awam atau masih lagi berkhidmat, supaya berhati-hati dalam setiap kenyataan yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016 di Hotel Ramada, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kakitangan kerajaan kadang-kadang menggunakan parlimen sebagai alasan boleh bercakap tetapi dalam hal-hal rahsia kerajaan perlu lebih berhati-hati.

“Banyak implikasinya apabila rahsia kerajaan ini didedahkan kerana ia boleh mengancam keselamatan negara kita dan keselamatan ekonomi negara, jadi saya berharap mereka lebih bertanggungjawab,” tegasnya.
-DZ

Tinggalkan komen anda