![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2016/10/IMG-20161007-WA0009.jpg)
Laporan oleh : Syed Hisham Shah (Putrajaya)/ Foto : ihsan Jabatan Perikanan Malaysia
PUTRAJAYA, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Menjelang tahun 2020, Jabatan Perikanan mensasarkan pengeluaran perikanan negara sebanyak 3.02 juta tan metrik.
Perkara tersebut merupakan antara inisiatif jabatan perikanan melalui penjenamaan semula program kembara media myDOF yang dianjurkan bagi kali keempat ini.
![Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Zulkafli Abd. Rashid, melepaskan peserta kembara media di Putrajaya](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2016/10/IMG-20161007-WA0008-300x169.jpg)
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Zulkafli Abd. Rashid, melepaskan peserta kembara media di Putrajaya
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Zulkafli Abd. Rashid, penjenamaan ini dilakukan agar kekal relevan dalam memperkukuhkan persepsi berkaitan produk atau perkhidmatan jabatan.
“Ianya amat penting bagi memperluaskan pemasaran produk ke arah yang lebih tinggi seterusnya memperkukuhkan peranan dan fungsi jabatan supaya terus kekal relevan,” ujar beliau ketika merasmikan program tersebut di sini.
Zulkafli juga menjelaskan penganjuran kembara media kali ini menekankan kepada aktiviti-aktiviti berimpak tinggi, yang dapat memperlihatkan penglibatan jabatan secara keseluruhannya.
“Secara langsung dapat mempromosikan aktiviti yang sedang atau telah dilaksanakan bersama golongan sasar,” ujarnya lagi.
Kembara media ini disertai lebih daripada 7 agensi berita tempatan yang akan menjelajah ke 23 lokasi seluruh negara bermula dari 7 Oktober dan berakhir di Mukah, Sarawak pada 18 Oktober nanti.
-SH