Skip to main content
EkonomiHomeRencana & PendapatViral

Ucapan PM Mengenai Ekonomi Dan Fitnah Berleluasa

By 7 Oktober 2016Oktober 9th, 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Berikut teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan ekonomi semasa dan fitnah berleluasa yang disarkan dalam blog beliau, najibrazak.com pada 7 Oktober 2016.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini tersebar melalui laman sosial dan aplikasi Whatsapp khabar angin mendakwa kononnya negara akan bankrap pada bulan September tahun ini.

Ramai pula yang mempercayainya. Ingin saya terangkan, ekonomi negara bahkan ekonomi dunia mempunyai kitaran naik turunnya.

Pada 1998, kita mengalami krisis kewangan yang sangat dahsyat, di mana pertumbuhan ekonomi negara di tahap negatif, banyak perniagaan gulung tikar, ringgit jatuh mendadak dan rakyat hilang kerja.

10 tahun kemudian, dunia kembali diasak krisis ekonomi yang juga telah mengakibatkan ekonomi negara menyusut.

Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, saya telah mengambil langkah proaktif dalam merangka program perangsang ekonomi.

Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi melonjak semula pada kadar lebih 7 peratus pada tahun berikutnya.

Pada tahun 2015 pula, kita melalui satu lagi cabaran ekonomi di mana hasil pendapatan negara merosot lebih RM30 bilion akibat kejatuhan harga minyak.

Hakikatnya, ekonomi negara tetap berkembang pada kadar lebih 4 peratus pada separuh pertama tahun ini, dan tidak pula tersungkur ke tahap negatif seperti tahun 1998.

Malangnya ada kelompok telah menyebarkan fitnah mengatakan kemerosotan ekonomi negara adalah sebab faktor politik semata-mata.

Walhal, kerajaan inilah yang berjaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Janganlah kita mudah terpedaya dengan fitnah seperti ini, kerana Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini.”

Sekian

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Tinggalkan komen anda