Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Atlet Melaka Terima Insentif RM120,600

By 6 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah RM120,600 kepada para atlet yang telah beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII di Sarawak pada Julai lalu.

Menurut EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian para atlet dan kerajaan negeri turut memberi sumbangan sebanyak RM4,000 kepada jurulatih dan pengurus mereka sebagai penghargaan.

“Melaka telah berjaya meraih sebanyak 18 pingat emas, 11 perak dan 28 gangsa pada SUKMA lalu dan kami telah melihat potensi atlet kita ini berada di tahap yang baik. Kita yakin mereka boleh mencapai tahap yang cemerlang pada SUKMA ke-19 di Perak pada tahun 2018 nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Hadiah Insentif Kemenangan di SUKMA Sarawak ke-18 2016 di Ayer Keroh, di sini pada Selasa.

Tambah Ab Rahaman, dia turut memberi harapan kepada jurulatih dan pengurus pasukan supaya mereka sentiasa memberi latihan yang berterusan dan tidak bermusim kepada atlet kerana SUKMA 2018 hanya beberapa belas bulan sahaja lagi.

Khairul Hafiz Jantan

Khairul Hafiz Jantan memecah empat rekod SUKMA termasuk satu rekod kebangsaan bagi acara pecut 100 meter.

 

Khairul Hafiz Jantan menerima insentif tertinggi berjumlah RM28,666.66 kerana berjaya memperoleh empat emas dan memecahkan empat rekod termasuk rekod kebangsaan dalam acara pecut 100 meter dan tiga rekod SUKMA iaitu 200 meter, 4×100 meter dan 4×400 meter.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berharap agar para atlet menggunakan wang insentif yang diterima sebaiknya sama ada disimpan untuk masa hadapan atau membeli makanan tambahan yang sesuai untuk kesihatan mereka.

“Diharap para atlet turut menjaga disiplin kerana kita masih menyandarkan harapan kepada mereka untuk beraksi dalam SUKMA akan datang dan pada yang tidak layak untuk sertai SUKMA ke-19, kita harap mereka akan menyasarkan untuk mewakili negara dalam Sukan SEA akan datang,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda