Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Viral semalam apabila dua rakaman video tersebar luas dalam laman sosial Facebook yang memaparkan tindakan seorang lelaki dipercayai pemilik rumah penjagaan orang tua di Melaka mengasari penghuni rumah berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan dan tindakan terhadap pemilik rumah berkenaan serta memastikan adanya pertuduhan.
“Saya meminta supaya pihak yang berwajib berkaitan rumah penjagaan orang tua melihat kembali peraturan dan garis panduan secara terperinci termasuk syarat-syarat minimum bagi mana-mana pihak yang ingin membuka rumah penjagaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Ayer Keroh petang semalam.
Menurutnya, pihak yang ingin membuka rumah penjagaan harus mempunyai sijil kelayakan latihan penjagaan orang-orang tua dan kelayakan dalam penyediaan makanan serta keperluan kesihatan.
“Ada beberapa akta dan peraturan yang perlu dipatuhi dan sudah pasti ianya tiada arahan mengenai sentuhan fizikal kecuali untuk tujuan kesihatan seperti urut atau terapi, itu kita boleh terima.
“Tetapi jika sentuhan itu untuk mengerakkan sesuatu seperti mengarahkan orang tua bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan bertindak memukul di kepala, saya yakin ia tidak ada di dalam garis panduan penjagaan orang tua,” tegasnya.
Tambahnya, mereka sekurang-kurangnya perlu mempunyai kelayakan tertentu seperti memahami sensitiviti masyarakat, memahami secara psikologi bagaimana cara berurusan dengan orang tua atau sesiapa yang dijaga termasuk kanak-kanak.
Pada 1 Oktober lepas, satu laporan polis telah dibuat oleh bekas pekerja rumah penjagaan berkenaan yang turut menyebut dalam laporannya pemilik rumah tersebut sering mengasari dan memaki hamun penghuninya.