Oleh: Fasharina Kholil / Foto: Rozita Abdullah
LENGGONG, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Golongan muda dan para belia di sekitar daerah ini disaran menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam usaha membantu mencegah jenayah dalam komuniti.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perak, Abdul Hadi Mohd Salleh berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Penugasan SRS Daerah Lenggong di Laman Budaya Lenggong pada Rabu lepas.
Abdul Hadi berharap lebih ramai penyertaan daripada golongan muda khususnya bagi menjadi Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (AJK RT) dan SRS kerana golongan ini bukan saja aktif bahkan turut mempunyai kekuatan fizikal dan mental.
“AJK RT perlu menjalin hubungan yang baik dengan anggota keselamatan agar dapat bersama-sama mencegah kejadian jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing,” jelasnya lagi.
Tambahnya, setiap AJK RT dan SRS diberi perlindungan insurans berkelompok di bawah MAA Takaful.
“Jadi, sekiranya berlaku kemalangan atau kematian sewaktu menjalankan tugas, mereka layak untuk menuntut insurans tersebut mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan,” jelas Abdul Hadi.
Sementara itu, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Perak, Abdul Rahman Salleh berharap agar sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada anggota SRS dan RT supaya matlamat penubuhan RT dan SRS dapat mencapai matlamatnya.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan bantuan makanan dan barangan keperluan harian kepada sembilan bekas AJK RT Daerah Lenggong yang uzur dan kurang berkemampuan.
-DZ