Laporan dan Foto oleh: Mohd Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Malaysiaaktif) – “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) fokus terhadap tindakan merampas semula harta hasil rasuah, manakala penyiasatan pula akan dilaksanakan secara lebih tersusun dengan pendekatan ‘Mesra Rakyat Tapi Digeruni Perasuah’ dalam menangani masalah rasuah.”
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Mohd Jalil berkata demikian semasa ucapan perasmian Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SPRM di Ibu Pejabat MARA di sini semalam.
Tambah beliau, “Memorandum ini merangkumi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, khidmat rundingan, penyaluran maklumat, latihan serta usaha-usaha peningkatan integriti ke arah meningkatkan kemampuan MARA dalam membanteras jenayah rasuah”.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dalam ucapan pula melahirkan rasa gembira kerana dengan Memorandum Persefahaman ini membolehkan MARA memastikan penyaluran maklumat berkaitan tawaran rasuah yang dibuat kepada warga MARA dapat dilaporkan segera.
Beliau menambah, “Perjanjian ini akan menjadi titik perubahan yang lebih besar impaknya ke arah menjadikan warga MARA lebih beramanah dan berintegriti”.
Majlis ini adalah proses memperbaharui kerjasama yang telah terjalin melalui Memorandum pertama yang ditandatangani pada 10 April 2012.
Memorandum ini diteruskan berikutan pihak MARA merasakan kerjasama sebegini dapat meningkatkan kebolehpercayaan masyarakat terhadap integriti warga MARA.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu turut disertai Pengerusi MARA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Haji Musa dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Haji Abdul Samat Kasah.