Laporan & foto oleh Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 20 Nov (Malaysiaaktif) — Dato ak Lakok berasal dari Kampung Krian, Padawan yang mewakili Orang Kelainan Upaya (OKU) menjuarai Brook Swim bertempat di Sungai Sarawak semasa perasmian Regata Sarawak 2016 semalam.
Dato mengaku tidak menyangka akan muncul sebagai johan dalam Brooke Swim kali ini kerana merasakan ramai lagi OKU, termasuk yang pernah mewakili Sarawak dalam SUKMA 2016 mampu menyerlah.
“Saya berlatih setiap hari di Kolam Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan di kolam Jabatan Belia dan Sukan dan di bawah jurulatih Sarini @Syabini bin Kederi dan Edward Tenley.
“Walaupun saya tidak menjangka menjadi johan namun saya sering berdoa, dan dengan usaha dan tekad maka saya dapat menjadi johan,” jelasnya.
Seramai 36 orang peserta menyertai Brooke Swim sempena Sarawak Regata 2016 dengan menyeberangi Sungai Sarawak sejauh 117 meter, bermula dari Port Margherita hingga ke pentas utama di seberang.
Brooke Swim dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori OKU dan kategori orang awam.
Naib Johan bagi kategori OKU, dimenangi oleh Sharil bin Chai sementara tempat ketiga dimenangi oleh William Chai. Kedua-dua mereka mewakili SMK Asajaya, Samarahan.
Menurut Sarini @Syabini bagi perlumbaan kali ini para peserta lebih giat berlatih tiga hingga empat kali sehari. Beliau mendapati semasa latihan mereka semua begitu bersemangat menyiapkan keupayaan fizikal untuk menyertai apa jua pertandingan renang.
Peniaga kedai runcit, Jiro Lihap, 50, yang berasal dari Kampung Simpok, Padawan berkata ini merupakan kali kedua dia menyertai Brooke Swim.
“Pada 1993 saya pernah menjadi juara, maka tekad saya ialah ingin mempertahankan kejuaraan pada kali ini. Saya pernah mewakili OKU dalam Paralimpik 2016 dan mendapat dua emas dan satu perak,” katanya yang mendapat tempat ketujuh pada Brooke Swim kali ini.
Dalam pada itu, jurulatih Mohd bin Ali Seman yang berasal dari Kuching sempat berkata jika ikutkan hati dia memang hendak mengambil bahagian, tetapi kali ini hanya dilantik sebagai jurulatih untuk memberikan semangat kepada pasukan OKU.
“Saya sebelum ini pernah mewakili Sarawak dan Malaysia pada tahun 2001, 2006 dan 2007. Saya berharap semua OKU yang ambil bahagian akan terus bersemangat dalam apa-apa jua sukan,” jelasnya lagi.
Tujuh orang peserta mewakili orang kurang upaya (OKU) menyertai Brooke Swim kali ini.
Regata Sarawak 2016 yang bermula pada Jumaat dan berakhir hari ini adalah anjuran Kementerian Pelancongan dan Pejabat Residen Kuching.