Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohorViral

Daerah Batu Pahat Catat 7,698 Kemalangan Jalan Raya 2015

By 20 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mazlin Basir

BATU PAHAT, 20 November (Malaysiaaktif) – Sejumlah 67,112 kemalangan jalan raya membabitkan 1,040 kematian dilaporkan sepanjang 2015 di negeri Johor.

Daerah Batu Pahat direkodkan sebagai penyumbang kadar kemalangan tertinggi dengan 7,698 kes melibatkan 191 kematian.

Statistik itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi semasa merasmikan majlis Pelancaran Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2016 semalam.

20161119_154613

Mangsa kemalangan, Muhamad Shafiq bin Ramli.

Majlis yang diadakan bersama Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kluster Keselamatan Jalan Raya berlangsung di Batu Pahat Mall.

Menurut beliau, angka kematian yang dicatatkan sejak 2003 tidak pernah kurang daripada 6,000 orang setiap tahun, sementara kebanyakan kejadian didapati berpunca daripada kecuaian manusia. Statistik juga menunjukkan penunggang motosikal kumpulan paling tinggi terbabit dengan catatan 63 peratus.

Kajian mendapati penggunaan jalan raya secara tidak berhemah, termasuk melebihi had laju, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar dan sebagainya adalah penyebab utama kematian.

Pelancaran NBOS Kluster Keselamatan Jalan Raya Peringkat Parlimen Sri Gading merupakan pendekatan Strategi Lautan Biru dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya melalui kaedah pengurusan dengan mengambilkira faktor-faktor setempat.

Sementara itu, mangsa kemalangan Muhamad Shafiq bin Ramli yang turut hadir dalam majlis tersebut menceritakan pengalaman beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2011 ketika berusia 19 tahun.

Beliau yang berasal dari Sri Medan Batu Pahat terbabit dalam kemalangan sewaktu menunggang motosikal di Tongkang Pechah dan kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda, selain menanggung kecacatan kekal kerana lumpuh daripada bahagian pinggang hingga ke kaki.

Turut hadir dalam majlis ini Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Datuk Arifin Che Mat dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Profesor Dr Wong Shaw Voon.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda