Laporan dan foto oleh Ahmad Faizal Azman & Vani Kunasekaran
HULU SELANGOR, 20 Nov (Malaysiaaktif) -“Ada unsur-unsur untuk memecahbelahkan kaum di Malaysia jadi, bukan sahaja kerajaan tetapi pihak NGO dan di peringkat sekolah juga mestilah mendokong silang budaya di antara kaum”, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kebangsaan 2016 di Kawasan Perniagaan JRD, Batang Kali, Hulu Selangor malam tadi.
Tambah beliau lagi, “saya mahukan semua kaum dilibatkan untuk bersama-sama meraikan perayaan dan bukannya penglibatan satu kaum sahaja.
“Kita semua mestilah menanam budaya sayangkan semua kaum melalui silang budaya meraikan semua perayaan yang ada”, ujar beliau.
“Saya meminta masyarakat India memberi komitmen untuk diterjemahkan kepada Perdana Menteri bagi menyambung kesinambungan kerajaan sedia ada”, kata Zahid.
Zahid juga meminta supaya tidak melabelkan kaum di Malaysia dan meminta supaya semua kaum mengamalkan silang budaya secara berterusan.
Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Perlancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
Majlis rumah terbuka ini dihadiri lebih kurang 20 ribu orang terdiri daripada masyarakat tempatan pelbagai kaum serta pelancong asing.