Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Pelajar Pendidikan Khas Didedahkan Kepada Keusahawanan

By 7 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak lima buah sekolah terpilih dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) sebagai tanda  penghargaan dan terima kasih kerana telah memberi kepercayaan kepada  KKBBM melaksanakan kursus-kursus berbentuk kemahiran bagi memperkasakan para pelajar pendidikan khas tahun ini.

Menurut Pengarah KKBBM, Jamalluddin Mohd Ali, setiap manusia mempunyai bakat dan kebolehan yang berbeza-beza dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan dan kebolehan pelajar-pelajar ini.

“Mungkin mereka ini lemah dalam bidang akademik, tetapi saya percaya jika pelajar-pelajar ini diberikan ruang dan peluang untuk mendalami bidang kemahiran, ditambah dengan semangat serta kegigihan yang ada dalam diri pelajar, mereka ini juga boleh berjaya seperti insan yang lain,” ujarnya.

Kesemua para pelajar sekolah terpilih tersebut menerima sijil bagi kursus-kursus yang berjaya dihadiri sepanjang Program CSR berlangsung.

Tambah Jamalluddin, pemberian sijil tersebut akan dapat membakar semangat para pelajar ini untuk terus mendalami bidang-bidang kemahiran seterusnya menguasai dan mengaplikasi kemahiran-kemahiran tersebut dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi kehidupan mereka pada masa hadapan.

Antara sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, SMK Klebang Besar, SMK Tun HJ Abdul Malek, SMK Bukit Rambai dan juga SMK Kg Gelam.

Sebagai tanda penghargaan untuk penglibatan secara aktif pihak sekolah dalam mengikuti kursus-kursus pendek yang ditawarkan di KKBBM, pihak kolej turut menawarkan Kursus Decorating Tiramisu Cake (Menghias Kek Tiramisu) secara percuma kepada pelajar-pelajar baru-baru ini.

Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin berkata program ini diharap dapat memberi manfaat yang berguna kepada para pelajar dan guru pengiring di samping didedahkan dengan fungsi kolej komuniti.

“Kolej komuniti menyediakan pendidikan seumur hidup kepada individu dan masyarakat setempat untuk menimba ilmu terutamanya dalam bidang kemahiran bagi meningkatkan taraf hidup di samping sebagai laluan alternatif kepada lepasan sekolah menengah yang tercicir daripada pendidikan formal,” katanya.

Yunus turut berharap dengan berlangsungnya Program CSR ini dapat membuktikan golongan orang kekurangan upaya (OKU) ini boleh berjaya seperti insan normal yang lain.

“Ini dapat dilihat dari kejohanan sukan terbesar dunia Paralimpik Rio 2016 menerusi kejayaan atlet negara meraih beberapa pingat emas dalam kejohanan itu setanding dengan atlet-atlet normal yang bertanding dalam kejohanan Olimpik Rio 2016 yang lepas.

“Ini membuktikan golongan-golongan seperti ini juga mampu untuk mencipta nama di dalam sesuatu bidang yang mereka ceburi,” jelasnya.

 

-DZ

 

Tinggalkan komen anda