Oleh : Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL, 2 Nov 2016 (Malaysiaaktif) – Laluan FT245 Jalan Serting Ulu – Air Hitam yang sebelum ini telah mengalami tanah runtuh akibat hakisan dan karat pada pembetung Corrugated Metal Pipe (CMP) pada penghujung bulan Julai lepas telah mula dibuka kepada laluan kenderaan ringan petang semalam.
Menurut Jurutera Daerah, Rosdi bin Abu Bakar, laluan ini telah dibuka kepada kenderaan ringan petang semalam selepas mengambilkira kekuatan struktur konkrit walaupun belum mencapai tempoh matang serta kerja-kerja pembinaan jalan masih belum siap sepenuhnya.
“Langkah membenarkan kenderaan ringan melalui jalan ini adalah bagi meringankan beban penduduk setempat dalam urusan seharian mereka”, tambah beliau lagi.
Pembinaan jalan yang mengambil masa lebih kurang 3 bulan untuk dipulihkan ini akan dibuka sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan dalam tempoh dua minggu lagi setelah kerja-kerja penurapan siap sempurna dilaksanakan.
-MRR